DUNGUN – Dasar penyasaran subsidi RON95 kerajaan Madani mencetus keresahan rakyat susulan mekanisme kabur dan berisiko kebocoran data serta manipulasi harga minyak.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, YB Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, syarat tambahan seperti had 300 liter, penggunaan kad pengenalan baharu serta lesen memandu aktif hanya menambah beban birokrasi.
“Rakyat mahukan penyelesaian mudah dan adil, bukan syarat yang menyusahkan,” tegas beliau.
ADUN Rantau Abang itu turut mempersoalkan jaminan kerajaan terhadap keselamatan data rakyat, serta menuntut ketelusan projek pemasangan mesin pembaca Kad Pengenalan di stesen minyak yang dikhuatiri menjadi “lubuk kontrak”.
Katanya, kenyataan bercanggah daripada pihak menteri menambahkan kekeliruan, sedangkan pengalaman dengan subsidi diesel membuktikan kerajaan masih gagal mengawal ketirisan.
“Jika diesel pun gagal diurus, bagaimana pula dengan RON95? Akhirnya rakyat juga menanggung beban,” ujarnya.
Menurut beliau, rakyat sebagai pemilik hasil negara berhak menikmati harga petrol murah tanpa dibebankan dasar kabur dan menekan kehidupan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan rakyat sebagai pemilik hasil negara berhak menikmati harga petrol murah tanpa dibebankan dengan dasar yang kabur serta menyusahkan.
“Kerajaan jangan sesekali mempermainkan hak rakyat. Rakyat tidak minta banyak – hanya keadilan, ketelusan dan jaminan bahawa mereka dapat menikmati hasil negara sendiri,” ujarnya.





























