Gema besar tapi sasaran kecil. Agak menghairankan mengenai sasaran dan perancangan di dalam RMK-13 bagi sektor pertanian Terengganu.
Ketika YAB Tambun mengumumkan pembangunan hab ekonomi biru dan pewujudan hab pengeluaran makanan negara melibatkan Negeri Terengganu, purata kadar pertumbuhan tahunan bagi KDNK sektor Pertanian Terengganu disasarkan hanya 1.1 peratus. Sedangkan pertumbuhan KDNK Pertanian Terengganu bagi tahun 2023 ialah 7.4%.
Subsektor perikanan dan subsektor akuakultur adalah merupakan salah satu industri strategik bagi ekonomi rakyat Terengganu. Subsektor tanaman dan subsektor penternakan Terengganu juga telah menunjukkan pertumbuhan yang semakin signifikan kebelakangan ini. Sebagaimana dapatan dalam Banci Pertanian 2024 dimana Terengganu mempunyai jumlah pegangan ternakan dan pertanian tertinggi dalam negara.
Kerana itulah, Kerajaan Negeri menyasarkan sektor pertanian Terengganu, untuk tumbuh mencecah antara 10.6 hingga 12.0 peratus menjelang tahun 2030, atau secara puratanya 8.0 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2030 dan ia adalah sasaran yang realistik berdasarkan fakta dan data di lapangan.
Kalau sekadar mensasarkan pertumbuhan KDNK Pertanian Terengganu pada kadar 1.1% maka ia tak sepadan dengan gema kuat pengumuman untuk menjadikan Terengganu sebagai Hab Pembangunan Ekonomi Biru dan Hab Pengeluaran Makanan Negara. Kita perlu berjalan ke hadapan dan bukannya mengundur ke belakang!
Saya menyokong penuh Ucapan Perbahasan RMK-13 YAB MB merangkap MP Kemaman.
Dr Azman Ibrahim