Pengiktirafan UEC Dan Keperluan Mempertahankan Kedaulatan Sistem Pendidikan

105

Perbincangan mengenai pengiktirafan UEC perlu ditangani secara serius dan berasaskan prinsip kenegaraan. Penilaian terhadap struktur dan hala tuju yang digariskan oleh pihak pengelola UEC menunjukkan bahawa ia bukan sekadar satu kelayakan akademik alternatif, sebaliknya dibangunkan sebagai satu rangkaian pendidikan lengkap yang beroperasi di luar sistem kebangsaan.

Laluan akademik UEC merangkumi pendidikan menengah, pra-universiti sehingga ke peringkat pengajian tinggi, dengan sistem pentaksiran, kurikulum dan tadbir urus tersendiri. Keadaan ini secara nyata membentuk sistem pendidikan selari yang tidak disepadukan dengan dasar pendidikan nasional.

Sistem pendidikan kebangsaan diwujudkan melalui undang-undang, dasar kerajaan dan mekanisme kawal selia yang ketat, termasuk jaminan integriti peperiksaan, audit awam dan kebertanggungjawaban institusi kepada Parlimen. Sebaliknya, UEC ditadbir oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan tidak tertakluk kepada kerangka pengawasan yang sama. Oleh itu, tuntutan agar kelayakan ini diberikan taraf setara dengan peperiksaan nasional menimbulkan implikasi besar terhadap autoriti dan kedaulatan dasar pendidikan negara.

Tambahan pula, laluan UEC tidak diselaraskan dengan komponen teras pendidikan kebangsaan seperti Bahasa Melayu, kurikulum nasional dan kerangka pembinaan identiti negara. Namun, tuntutan dibuat supaya pemegang kelayakan ini diterima ke institusi pengajian tinggi awam. Pendekatan sedemikian mewujudkan keadaan di mana sistem negara terpaksa menerima kelayakan yang berada di luar kawal selia nasional.

Sekiranya tuntutan ini dilayan tanpa garis panduan yang tegas, negara berisiko berdepan dualisme sistem pendidikan yang akhirnya melemahkan fungsi pendidikan sebagai alat penyatuan masyarakat dan pembinaan negara bangsa.

Sehubungan itu, kerajaan wajar mengambil pendirian yang jelas dan tegas dalam mempertahankan kedaulatan sistem pendidikan negara. Antaranya termasuk:
• menegaskan bahawa hanya kelayakan yang berada di bawah kerangka pendidikan kebangsaan layak diberi pengiktirafan setara;
• memperkukuh penguatkuasaan undang-undang dan dasar pendidikan sedia ada;
• menolak sebarang usaha yang cuba memintas atau menggugat sistem pendidikan nasional melalui laluan alternatif yang tidak dikawal selia;
• serta memastikan institusi awam tidak menjadi pintu masuk kepada kelayakan yang bercanggah dengan dasar negara.

Isu UEC bukan sekadar isu akademik, tetapi menyentuh soal kedaulatan negara, integriti dasar pendidikan dan masa depan pembinaan bangsa. Ketegasan kerajaan dalam hal ini amat penting bagi memastikan sistem pendidikan kebangsaan terus kekal sebagai asas tunggal yang menyatukan rakyat.

Kesimpulannya, sistem pendidikan negara perlu terus diperkasakan dan ditambah baik dari dalam, bukannya digantikan atau ditandingi oleh sistem luar. Sebarang usaha yang menggugat kedaulatan sistem pendidikan kebangsaan mesti ditangani secara tegas dan berprinsip demi kepentingan negara.

Sekian.

YB USTAZ DATO’ HAJI MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat.

15 Disember 2025 Miladi bersamaan 24 Jamadilakhir 1447