Penghargaan Ini Bukan Milik Saya Seorang

333

Oleh: Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – “Penghargaan ini bukan milik saya seorang, tetapi untuk seluruh pasukan.” ujar Ketua Unit Produksi Media, Lajnah Peeenererangan dan Media Baharu Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu

Sharifah Azlina Syed Ismail berkata apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Komitmen Cemerlang atas sumbangan dan dedikasinya dalam menggerakkan Unit Produksi Media di bawah Lajnah Penerangan.

Sebagai Ketua Unit tersebut, beliau memainkan peranan penting dalam menerbitkan bahan infografik dan video melalui platform Lubna TV bagi menyampaikan isu-isu semasa kepada masyarakat.

Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Lubna TV bagi sesi 2019–2021/22.

Menyingkap latar belakangnya, Sharifah aktif dalam kegiatan kokurikulum semasa di sekolah, termasuk dalam badan beruniform Sea Scout dan pertandingan mengarang, di mana beliau pernah meraih tempat ketiga peringkat kebangsaan.

“Melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan adalah motivasi utama saya dalam berkarya dan menyampaikan isu-isu semasa kepada masyarakat melalui penerbitan risalah infografik serta video di Lubna TV,” katanya ketika ditemui pihak media selepas program Ramah Mesra Lajnah Penerangan Media Baharu Dewan Muslimat PAS negeri Terengganu di Payang Scout Inn, Teluk Ketapang, semalam.

Tambah beliau, setiap unit di bawah Lajnah Penerangan digerakkan mengikut aliran kerja yang tersusun.

Contohnya, Unit Isu berfungsi sebagai medan utama sebelum sesuatu perkara disalurkan kepada Unit Produksi Media untuk tindakan lanjut.

Sharifah yang menetap di Kuala Terengganu turut mengakui bahawa cabaran terbesar adalah membangunkan organisasi yang cekap dan berwibawa, termasuk mematangkan pemikiran, gerak kerja serta idea yang selari dengan dasar Parti PAS.

“Cara terbaik untuk mengatasi cabaran adalah dengan sentiasa terlibat dalam perbincangan, berani mengutarakan idea, melakukan penambahbaikan, dan mendekati pimpinan bagi mengikuti perkembangan terkini.

“Penguasaan kemahiran juga penting, antaranya melalui kursus dan bengkel,” jelasnya.

Dalam nada penuh kesyukuran, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar serta mengucapkan terima kasih khusus kepada suaminya yang sentiasa menyokong dan memberi kepercayaan terhadap apa yang dilakukan.

“Nilai yang saya pegang adalah hasil didikan kedua ibu bapa saya, iaitu sentiasa bersungguh-sungguh apabila menerima tugas. Sama ada kita pandai atau tidak, kita mesti menjiwai tugas tersebut.

“Prinsip saya ialah sentiasa wala’ kepada ketua dan bersikap bertoleransi,” jelasnya lagi.

Beliau turut menyeru agar semua ahli memahami matlamat perjuangan Islam serta menyedari bahawa setiap individu memiliki kelebihan masing-masing yang perlu dimanfaatkan.

Baginya, menerima perbezaan, bersabar, dan tabah merupakan kunci dalam menghadapi cabaran dari kawan mahupun lawan.

“Biarlah kita bersahabat dengan kasih sayang dan saling menghormati. Sentiasa berfikiran positif, saling menziarahi dan mendoakan agar kita semua berada dalam rahmat dan keberkatan Allah SWT,” ujarnya penuh harapan.

Mengulas tentang anugerah yang diterimanya, Sharifah berkata, ini merupakan kali pertama menerima anugerah.

“Alhamdulillah, ini kali pertama saya menerima anugerah dan ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus berkarya, insya Allah,” katanya.

Beliau juga berharap akan ada pelapis yang lebih efisien untuk menggerakkan setiap unit dalam Lajnah Penerangan dengan cemerlang.

Sharifah Azlina mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman 1 dan meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Muslimat Tokku, Ketua Muslimat Kg Tokku, Ketua Penerangan Muslimat Dun Bandar, Setiausaha Lajnah Penerangan DMPKKT, Setiausaha Lajnah Penerangan DMPNT, Ketua Unit Produksi Media Lajnah Penerangan DMPNT dan Pengerusi Lajnah Penerangan DUN Bandar