Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU – PAS menegaskan bahawa pengaruh algoritma media sosial kini menjadi cabaran paling besar dalam mendidik generasi muda, khususnya Gen-Z, apabila platform seperti TikTok dan YouTube lebih konsisten ‘mentarbiyah’ anak-anak berbanding ibu bapa atau guru.
Menurut Perhabasan daripada wakil Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, Ustazah Noorzila Mohamad berkata, fenomena ini menyebabkan ramai remaja mencari makna hidup di ruang maya, mempercayai horoskop dan “manifestation”.
Malah katanya, mudah terdedah kepada kandungan tidak bermoral, budaya depresi, Lesbian, Gay, Biseksual (Bisexual), and Transgender (LGBT) dan bahan terlarang seperti ‘mushroom vape’ yang kini berleluasa dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.
“Hari ini, kita bukan lagi bersaing dengan budaya barat atau artis semata-mata. Kita sedang bersaing dengan algoritma.
“Gen-Z tidak lagi perlu menunggu mak ayah cerita pasal agama. Mereka tanya TikTok, mereka berbual dengan ChatGPT. Mereka cari “healing” di media sosial. Realitinya, algoritma media sosial kini lebih konsisten ‘mentarbiyah’ anak kita setiap hari,” jelasnya.


Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Hulu Terengganu membahaskan perbahasan bertajuk: Keluarga PAS Asas Kekuatan Jemaah pada program Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu 2025 di Kota Putera Square, Kampung Raja, sabtu.
Menurutnya, PAS berpandangan bahawa dakwah kepada generasi ini tidak boleh lagi hanya berbentuk ceramah satu hala.
“Sebaliknya perlu melalui pendekatan mesra belia yang menyentuh hati dan jiwa, memberi ruang mereka berkongsi, memahami cabaran mereka dan membimbing dengan hikmah.
“Antara cadangan yang diketengahkan ialah melahirkan Naqibah Remaja di setiap DUN, menyediakan modul dakwah berkonsep “healing, aktif dan berjiwa”, serta mewujudkan aktiviti komuniti yang membolehkan anak muda merasai dakwah melalui pengalaman, bukan sekadar nasihat,” ujar beliau.
Justeru itu, beliau menegaskan bahawa tanpa usaha serius membina benteng dalaman anak-anak, generasi pewaris perjuangan Islam berisiko dibentuk oleh algoritma media sosial yang jauh daripada nilai Islam dan kebenaran.




























