Penganjuran Minggu Al-Quds Sedunia Kali Keempat 2024

241

AID4PALESTINE Dengan Kerjasama Beberapa Institusi Kerajaan Negeri Dan Ngo-Ngo Islam Menganjurkan Sambutan Minggu Al-Quds Sedunia Demi Mendokong Perjuangan Membebaskan Bumi Palestin Daripada Belenggu Penjajahan

1. Tahun ini merupakan tahun keempat penganjuran Minggu al-Quds Sedunia yang dianjurkan secara serentak di pelbagai buah negara sebagai meneruskan aspirasi untuk bersolidariti bersama perjuangan rakyat Palestin menuntut kebebasan dan mempertahankan tanah air mereka terutamanya pasca serangan pada bulan Oktober 2023 lalu yang telah meninggalkan impak yang sangat besar kepada dunia Islam khasnya dan antarabangsa secara amnya.

2. Di Malaysia, penganjuran Minggu al-Quds Sedunia pada tahun ini akan berlangsung pada 2 – 9 Februari 2024 bersamaan 21-28 Rejab 1445H. Aid4Palestine bersama-sama agensi dan pertubuhan yang bekerjasama dengannya dengan berbesar hati merangka beberapa program dan aktiviti yang bertemakan “Al-Quds Membebaskan Kita” dan berharap penganjuran kali ini dapat berjalan dengan lancar dan mencapai segala objektif yang telah digariskan.

3. Di antara objektifnya ialah menggerakkan massa untuk mengambil peduli tentang isu Palestin, menggabungkan peranan pelbagai institusi secara strategik dan bersinergi untuk melaksanakan projek yang praktikal demi mempertahankan kehormatan kota al-Quds, mendorong para ulama untuk memimpin masyarakat dalam menyokong, mempertahan dan menghidupkan semula isu ini di pelbagai negara serta mendidik rakyat berkaitan peranan mereka terhadap isu Palestrin dan Baitulmaqdis.

4. Penganjuran Minggu al-Quds Sedunia ini yang diadakan secara tahunan pada setiap minggu terakhir bulan Rejab adalah mengambil kesempatan daripada semangat umat Islam di seluruh dunia yang mengadakan sambutan memperingati peristiwa al-Isra’ wal-Mi’raj. Kita mengambil peluang ini untuk menyedarkan umat Islam tentang kepentingan Masjid al-Aqsa sebagai tempat berlakunya peristiwa besar Isra’ dan Mi’raj dan kedudukan bumi Palestin yang berada dalam penjajahan selama lebih 75 tahun sejak tahun 1948. Ia juga bertujuan untuk mengambil semangat peristiwa pembebasan Baitulmaqdis oleh Sultan Solahuddin al-Ayyubi yang berlaku pada minggu terakhir bulan Rejab iaitu tepatnya pada 27 Rejab tahun 583 Hijriah.

5. Bagi mencapai objektif yang tersebut, Aid4Palestine telah menyusun pelbagai aktiviti yang mampu memberikan kesedaran kepada massa termasuk para pemimpin masyarakat betapa isu al-Quds dan Palestin ini sangat berkait rapat dengan diri mereka dan umat Islam seluruhnya. Kali ini kami membawakan delegasi para alim ulamak dari luar negara yang telah sekian lama menabur bakti mendidik umat Islam untuk memperjuangkan isu Palestin. Di antaranya ialah Syeikh Dr. Nawaf Takruri, Dr. Abdullah Abdul Majeed al-Zindani, Datuk Ahmad Amir Ali, Syeikh Nuruddin La’muri, Syeikh Suat Yassin dan Syeikh Dr. Ridwan Jamal al-Atrash. Kehadiran mereka ini diyakini mampu menyuntik semangat pembebasan Masjid al-Aqsa dan Baitulmaqdis ke dalam diri umat Islam di negara ini.

6. Mengambil semangat “Taufan al-Aqsa” yang telah membangkitkan semangat dan menyedarkan umat Islam di seluruh dunia tentang peri pentang perjuangan membebaskan Masjid al-Aqsa dan mempertahankan kesucian kota al-Quds ini, Aid4Palestine menyahut seruan di peringkat antarabangsa menganjurkan Minggu al-Quds Sedunia dengan tema “Al-Quds Membebaskan Kita”. Penentangan rakyat Palestin di Tebing Barat dan diikuti serangan terhadap tentera penceroboh di sempadan Gaza pada awal Oktober tahun lalu telah menggegarkan dunia, walaupun kesan peperangan kali ini menyaksikan kemusnahan besar terhadap penduduk di utara Gaza, namun dunia telah membuka mata untuk mengenali pengganas sebenar di sebalik konflik berdarah yang paling panjang dalam sejarah manusia moden ini.

7. Dalam Minggu al-Quds Sedunia ini juga, kami akan melancarkan sebuah NGO iaitu Pertubuhan Pencinta Baitul Maqdis yang akan fokus memperjuangkan isu al-Quds dan Palestin dari segi memberi kesedaran (awareness) terhadap apa yang berlaku di lapangan supaya masyarakat di negara ini terus mendapat maklumat dan tidak hanya menyokong perjuangan rakyat Palestin secara bermusim. Justeru, kami mengajak semua pihak di negara ini, tanpa mengira fahaman politik dan aliran agama untuk turut sama dalam usaha membebaskan al-Quds dan mengembalikan kesucian Masjid al-Aqsa ke pangkuan umat Islam.

“Al-Quds Membebaskan Kita!”

YB DR USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
PENGERUSI AID4PALESTINE