Pendidikan Jiwa Penyelamat Generasi, Gajet Bukan Pengganti Kehidupan

20

DUNGUN- Gejala tekanan emosi, ketagihan telefon bimbit dan kemerosotan nilai dalam kalangan generasi muda memerlukan pendekatan pendidikan yang lebih menyeluruh.

Yang Dipertua PAS Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, mereka bukan sekadar tertumpu kepada aspek akademik semata-mata, tetapi juga memerlukan pendidikan kerohanian atau pendidikan kejiwaan bagi membentuk individu yang seimbang serta mampu menghadapi cabaran kehidupan moden.

“Antara punca tekanan atau *stress* yang semakin membimbangkan ialah ketidakmampuan seseorang untuk berpisah daripada telefon bimbit sehingga menjejaskan kesejahteraan mental dan hubungan sosial,”katanya.

Ustaz Wan Hassan berkata demikian berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Gen Z Briskwalk di Padang Astaka, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, Program Briskwalk bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi platform untuk membudayakan pendidikan jasmani melalui amalan berjalan santai yang mampu meningkatkan tahap kesihatan fizikal masyarakat.

“Pembangunan insan yang lengkap perlu merangkumi pendidikan fizikal, pendidikan keimanan, pendidikan akhlak serta pendidikan politik agar lahir generasi yang memiliki jati diri dan tanggungjawab terhadap agama, masyarakat dan negara,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa prinsip pertama Rukun Negara, iaitu ‘Kepercayaan kepada Tuhan’, mesti dijadikan asas pembentukan sahsiah, dengan setiap individu menghayati ajaran agama masing-masing sebagai panduan kehidupan.

“Pendidikan akhlak atau moral perlu terus diperkukuhkan bagi melahirkan masyarakat yang berintegriti, berdisiplin dan saling menghormat,” ujarnya lagii.

Mengulas peranan anak muda, beliau menyeru ‘Generasi Z’ agar tidak bersikap pasif terhadap perkembangan semasa, sebaliknya mengambil berat tentang pendidikan politik supaya mampu menjadi pemimpin dan rakyat yang berilmu serta berwibawa.

“Apabila pendidikan jasmani, kejiwaan, kerohanian, keimanan, akhlak dan politik bergerak seiring, insya-Allah kita akan melahirkan generasi terbaik yang bukan sahaja cemerlang, malah mampu memimpin masyarakat ke arah masa depan yang lebih gemilang,” katanya.