Penderitaan Gaza Berterusan; Kanada Ikrar Hantar Bantuan, Perancis Tegur Dunia

6

NEW YORK – “Di Gaza, penderitaan manusia yang amat besar terus berterusan,” tegas Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, memecah kesunyian di bilik sidang media di sela-sela Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Di tengah-tengah dewan yang sarat dengan perdebatan diplomatik, Kanada tampil mengumumkan bantuan antarabangsa baharu berjumlah 100 juta dolar Kanada (kira-kira RM313 juta) untuk rakyat Palestin.

Langkah Ottawa ini bukan sekadar bantuan kewangan biasa, sebaliknya satu isyarat geopolitik yang jelas bagi memastikan survival politik masa depan rantau berkenaan.

“Tindakan ini adalah usaha konkrit bagi memelihara kebolehlaksanaan penyelesaian dua negara,” kata Carney dengan nada tegas, merujuk kepada pembahagian 80 peratus dana untuk bantuan kemanusiaan serta 20 peratus bagi keselamatan dan latihan polis di Tebing Barat.

Pengumuman itu hadir ketika United Kingdom (UK) dan Perancis mempertingkatkan tekanan diplomatik bagi mendesak tindakan segera ke atas perluasan petempatan haram Israel.

Suasana di UNGA semakin tegang apabila negara-negara Barat mula beralih daripada sekadar retorik kepada sekatan ekonomi yang nyata.

Kanada secara rasmi menyertai pakatan barat untuk menghentikan perdagangan barangan dari wilayah yang diduduki secara tidak sah.

Mark Carney di UNGA

Menjawab kritikan terhadap rancangan projek petempatan kontroversi E1 oleh Israel di Tebing Barat, Carney tidak berselindung dalam menyatakan implikasinya.

“Projek E1 mempunyai niat yang jelas untuk memecahbelahkan wilayah. Atas sebab itulah Kanada mengumumkan sekatan perdagangan yang menyasarkan barangan yang dihasilkan di petempatan haram Israel tersebut,” ujar beliau.

Sokongan dan Kritikan yang Menghujani

Walaupun komitmen Kanada ini mendapat pujian daripada beberapa sekutu antarabangsa yang mahukan kedamaian, ia tidak terlepas daripada kritikan tajam oleh kumpulan aktivis kemanusiaan.

Bagi sebahagian pihak, tindakan menyalurkan dana bantuan tanpa mengenakan akauntabiliti keras ke atas kemusnahan infrastruktur oleh tentera Israel dianggap tidak mencukupi untuk menghentikan konflik.

Namun bagi kerajaan Kanada, rundingan pelbagai hala bersama UK, Perancis, dan Arab Saudi di New York kekal menjadi landasan utama.

Carney menutup bicaranya dengan mesej yang jelas kepada komuniti antarabangsa:

“Sokongan antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara tidak akan membawa makna apa-apa jika keadaan penderitaan dan ancaman eksistensi ini dibiarkan terus berlarutan.”

Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menyelar keras masyarakat antarabangsa atas kegagalan menangani krisis kemanusiaan di Gaza, menyifatkan keadaan yang sedang berlaku di wilayah bergolak itu sebagai satu perkara yang memalukan komuniti global.

Macron menbeuat teguran terbuka itu semasa ucapan perpisahan beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-81 di New York, mempersoalkan tindakan kuasa besar dunia, termasuk pentadbiran Donald Trump, yang mendakwa kononnya pelan keamanan telah dicapai, sedangkan realiti di lapangan menunjukkan sebaliknya

“Ada pihak yang mendakwa bahawa keamanan telah dicapai, namun ini langsung tidak membuka laluan kepada penghantaran bantuan kemanusiaan. Pemandangan (sekatan bantuan) ini adalah sesuatu yang memalukan. Memalukan kita semua,” tegas Macron yang dipetik daripada laporan portal antarabangsa.

Beliau turut mempersoalkan kredibiliti moral pertubuhan dunia itu sekiranya isu pembunuhan orang awam dan krisis di Gaza terus dibiarkan tanpa tindakan konkrit.

“Apakah nilai kredibiliti kita jika kita terus kekal tidak bertindak (pasif) terhadap apa yang berlaku di Gaza?” soal beliau sambil mengetuk podium perhimpunan.

Selain isu Gaza, Macron turut menempelak pencabulan hak kemanusiaan dan keganasan yang semakin meningkat di Tebing Barat. Beliau mengingatkan dunia agar tidak membiarkan sistem antarabangsa runtuh sehingga kembali kepada undang-undang rimba.

“Lihat apa yang sedang berlaku di Tebing Barat, di mana hari demi hari kita melihat pelanggaran undang-undang berlaku. Dan atas nama apa? Hamas tidak pernah aktif di Tebing Barat,” katanya.

Perancis mengulangi desakan agar gencatan senjata segera dilaksanakan dan menggesa sokongan padu diberikan terhadap penyelesaian dua negara (Two-State Solution), termasuk penubuhan negara Palestin yang merdeka.