Pemuda Seru Rakyat Sertai Himpunan Bantah Trump

71
Ustaz Hamdi Harun

KUALA TERENGGANU – Seluruh rakyat diseru agar menyertai Himpunan Bantah Trump pada Jumaat, 24 Oktober ini sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin dan penolakan terhadap dasar luar Amerika Syarikat yang terus menyokong rejim Zionis.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Hamdi Harun, berkata himpunan yang akan bermula dari Menara Tabung Haji menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat itu merupakan manifestasi suara rakyat yang tidak sanggup berdiam diri terhadap kezaliman berterusan di Gaza.

“Ini isyarat jelas bahawa rakyat Malaysia menolak dasar luar Amerika yang terang-terangan menyokong rejim Zionis termasuk bantuan ketenteraan yang digunakan untuk membunuh ribuan rakyat tidak berdosa di Gaza,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sejak era pentadbiran Donald Trump, Amerika Syarikat telah menyalurkan berbilion dolar bantuan ketenteraan kepada rejim Zionis, dan dasar itu masih diteruskan hingga kini oleh pentadbiran semasa.

“Kehadiran Trump ke Malaysia tidak boleh dianggap perkara remeh kerana ia menyentuh sensitiviti umat Islam serta menyinggung maruah kemanusiaan sejagat,” ujarnya.

Tegasnya, rakyat perlu bersuara untuk menunjukkan bahawa Malaysia berpihak kepada keadilan dan menolak penindasan dalam apa jua bentuk yang berlaku di dunia.

Ustaz Hamdi turut menyeru agar peserta himpunan turun dengan semangat beradab dan berhemah, mencerminkan keperibadian Islam walaupun menyuarakan bantahan terhadap kezaliman.

“Suara kita mesti tinggi, tetapi tindakan kita mesti berhemah. Himpunan ini bukan sekadar protes politik, tetapi medan untuk menyatakan kebenaran dengan hikmah dan istiqamah,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa dunia mesti melihat rakyat Malaysia menolak kezaliman bukan dengan kekerasan, tetapi dengan suara iman dan prinsip kemanusiaan yang tinggi.

Menurutnya, perjuangan membela Palestin bukan isu bermusim, sebaliknya tanggungjawab berpanjangan bagi seluruh umat Islam.

“Selagi Al-Aqsa belum dibebaskan dan Gaza terus bermandi darah, umat Islam tidak akan berhenti bersuara. Membela Palestin bukan sekadar emosional, tetapi tuntutan iman dan ukhuwah Islamiah,” katanya.

Tambahnya, Himpunan Bantah Trump membawa mesej bahawa umat Islam di Malaysia tetap teguh bersama perjuangan rakyat Palestin dan tidak akan tunduk terhadap tekanan atau pengaruh kuasa besar dunia.

Generasi muda katanya, mesti memahami bahawa menyokong perjuangan Palestin bukan hanya simbol semangat, tetapi bukti kecintaan kepada keadilan dan kemanusiaan sejagat.

Ustaz Hamdi turut menyeru semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang politik supaya terus menyokong perjuangan Palestin melalui pelbagai cara termasuk himpunan, pendidikan, infaq, advokasi dan doa.

“Ini bukan soal ideologi, tetapi soal maruah manusia dan nilai kemanusiaan sejagat yang wajib dipertahankan oleh semua,” tegasnya.