KEMAMAN – Sayap pemuda menegaskan komitmen penuh untuk terus menunjukkan taat setia kepada pucuk pimpinan, memperkukuh perjuangan Islam di negeri ini dan membantu memperluas pengaruh parti ke negeri jiran, Pahang.
Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Harun Isa berkata, dalam mendepani era cabaran dan risiko yang semakin kompleks, golongan pemuda perlu diperkasa bukan sahaja dari sudut fizikal, malah rohani, agar mampu menjadi benteng utama mempertahankan kepimpinan Islam di negara ini.
“Dalam kita bergembira dan menyertai program bersama masyarakat, kita tidak boleh leka.
“Kita sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang menuntut kesabaran, doa, serta pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT agar generasi pelapis terus dipelihara,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu perhimpunan HIMPIT di Padang Astaka, di sini, semalam.
Ustaz Harun turut menekankan pentingnya semangat juang dalam kalangan anak muda terus dikekalkan, termasuk bersiap siaga menghadapi sebarang perubahan kepimpinan.
“Kepimpinan akan silih berganti. Tetapi perjuangan mesti diteruskan. Jangan putus asa.
“Sesiapa pun yang dilantik sebagai Ketua Pemuda selepas ini, insya Allah akan terus istiqamah dengan dasar dan hala tuju perjuangan,” katanya lagi.


Beliau menegaskan bahawa misi dan tugasan Pemuda PAS hari ini bukan sahaja terhad kepada mempertahankan negeri Terengganu, tetapi juga memperluas gerakan dakwah politik ke negeri-negeri lain, khususnya Pahang.
“Kita akan menggembeleng tenaga semaksimum mungkin untuk mempertahankan kerajaan negeri Terengganu.
“Dalam masa sama, melalui entiti Pemuda PAS dan gerak kerja SG4, kita akan bantu negeri Pahang bagi menarik hati anak-anak muda di sana menyokong perjuangan PAS,” tegasnya.
Beliau menambah, program yang diadakan ini turut menjadi medan pertemuan dan pengukuhan saf kepimpinan pemuda di semua peringkat serta merancang strategi mendepani Pilihan Raya Umum akan datang.


























