KUALA TERENGGANU – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim digesa memanggil Sidang Khas Parlimen bagi membincangkan isu ‘penculikan’ warganegara Malaysia oleh tentera rejim zionis.
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Abdul Manaf bin Ghani berkata, penahanan tidak sah aktivis kemanusian itu melanggar undang-undang dan kemanusiaan sejagat.
“Kami mendesak Perdana Menteri mengadakan Sidang Parlimen Khas bagi membincangkan isu penahanan aktivis Global Sumud Flotila (GSF) oleh tentera Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Aman Solidariti Bersama GSF di perkarangan Wisma Darul Iman, di sini, petang ini.
Dalam ucapannya, beliau turut menyeru masyarakat untuk turun ke kampung-kampung meneruskan kempen kesedaran serta mengajak orang ramai supaya tidak putus berdoa bagi keselamatan sahabat-sahabat aktivis flotila yang ditahan.
“Doa rakyat Malaysia amat bermakna untuk menguatkan semangat perjuangan mereka. Solidariti ini mesti diteruskan sehingga Palestin benar-benar bebas,” tegas beliau.
Menurutnya, himpunan aman tersebut turut disertai pelbagai lapisan masyarakat yang hadir menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin serta membantah tindakan zalim rejim Israel.