KUALA TERENGGANU – Program Singgah Sahur yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu dengan kerjasama Kelab ARC Kuala Terengganu menyantuni para petugas barisan hadapan yang sedang bertugas sekitar Kuala Terengganu, lewat malam semalam.
Program tersebut melibatkan pengagihan juadah sahur kepada anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi yang bertugas pada waktu malam bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Amzad Hashim berkata, program berkenaan bertujuan menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang terus menjalankan amanah ketika kebanyakan masyarakat sedang berehat.
“Selain menyampaikan juadah sahur, kami turut mengambil kesempatan bertanya khabar para petugas yang setia menjalankan tugas pada waktu malam.


“Ketika masyarakat sedang berehat, merekalah yang terus berkhidmat demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai sentiasa terjaga,” katanya.
Menurut beliau, program itu juga menjadi platform mengeratkan hubungan antara sukarelawan, khususnya dalam kalangan Pemuda PAS dan ARC yang berganding bahu menjayakan aktiviti kebajikan tersebut.
Katanya lagi, suasana konvoi bersama sukarelawan turut menambahkan semangat kebersamaan dalam usaha menyantuni mereka yang sedang melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga setiap usaha kecil ini menjadi amal kebajikan yang diberkati Allah SWT,” ujarnya.




























