Pemuda Agih Jalur Gemilang, Pupuk Semangat Cintakan Negara

393

KUALA TERENGGANU- Sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu memberi tumpuan kepada pengisian berbentuk mendidik dan menyuburkan semangat cinta tanah air di kalangan masyarakat.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Hamdi Harun berkata, pihaknya akan melaksanakan dua agenda utama iaitu agihan Jalur Gemilang di peringkat negeri serta pelbagai aktiviti yang dianjurkan di peringkat kawasan.

“Pemuda Negeri akan mengagihkan Jalur Gemilang kepada kenderaan sebagai tanda semangat patriotik dan menghidupkan suasana sambutan kemerdekaan di jalan raya.

“Selebihnya, aktiviti diserahkan kepada Pemuda di peringkat kawasan memandangkan sudah banyak program telah diatur di peringkat masing-masing. Antaranya termasuk kuliah kemerdekaan di masjid, gotong-royong dan lain-lain,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, Pemuda ingin memastikan sambutan kemerdekaan bukan hanya dipenuhi hiburan kosong atau perarakan semata-mata, sebaliknya diisi dengan agenda mendidik jiwa, menyuburkan iman dan menanam rasa cinta tanah air menurut perspektif Islam.

Beliau turut menegaskan hakikat kemerdekaan sebenar menurut Islam ialah apabila umat bebas daripada belenggu maksiat, kezaliman dan hawa nafsu.

“Allah SWT mengutus Rasul-Nya untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya iman, daripada penghambaan sesama manusia kepada pengabdian hanya kepada Allah. Inilah hakikat merdeka yang sebenar.

“Kebebasan hakiki ialah apabila umat ini hidup dengan syariat, menjaga maruah serta mempertahankan kedaulatan negara daripada penjajahan bentuk baharu. Merdeka hakiki adalah apabila kita bebas daripada penjajahan minda dan syahwat, serta tunduk hanya kepada Allah,” tegasnya.