

Tiga bulan setelah pemerintahan 42 tahun Gaddafi ditumbangkan, pihak NTC menghadapi tugas sukar membentuk pemerintah yang akan menyatukan kepentingan wilayah dan ideologi dengan persaingan antara kedua-duanya mengancam kestabilan rapuh negara itu.
‘Seluruh Libya diwakili,’ kata Perdana Menteri, Encik Abdurrahim El-Keib, (gambar) dalam satu sidang media bagi memperkenalkan barisan menteri.
Negara-negara Barat yang menyokong pemberontakan menentang Gaddafi dan mempunyai taruhan besar dalam melihat penggantinya berjaya, mengalu-alukan pemerintah baru itu sambil berkata bahawa ia akan memimpin negara pengeksport minyak itu ke arah demokrasi.
Pihak NTC, kelihatan lebih mengutamakan mereka yang mempunyai pengaruh di wilayah lebih daripada mereka yang berpengalaman atau memiliki rekod pencapaian baik, menjadi menteri.
Para diplomat asing menjangkakan jawatan Menteri Luar akan diberikan kepada Timbalan Duta Libya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ibrahim Dabbashi, seorang duta yang dihormati.
Namun, jawatan itu diberikan kepada Encik Ashour Bin Hayal, seorang diplomat yang tidak dikenali dari bandar Derna di timur Libya, yang lama menjadi salah satu kubu kuat anti-Gaddafi.
Sementara itu, Encik Hassan Ziglam, seorang eksekutif industri minyak, dinamakan sebagai Menteri Kewangan dan Encik Abdulrahman Ben Yezza, mantan eksekutif dengan syarikat minyak Italy utama, ENI, menjawat Menteri Minyak.
Kabinet baru itu turut melihat Encik Osama Al-Juwali menjawat Menteri Pertahanan.
Jurucakap bagi ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Cik Catherine Ashton, berkata bahawa EU yakin pemerintah sementara yang berkuasa kini akan membolehkan Libya memulakan peralihan politik.
Dalam satu langkah simbolik, bagi masyarakat Islam yang konservatif, kabinet baru Libya turut melantik dua menteri wanita, yang akan mengetuai Kementerian Kesihatan dan Kementerian Ehwal Sosial.
Menurut Encik El-Keib, pelantikan itu menunjukkan bahawa kaum wanita menikmati kesaksamaan seperti sebelum ini. — Reuters.

























