Pemergian Ustaz Dr. Mohd Hamdan Kehilangan Besar Buat PAS

402

KUALA TERENGGANU – Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah atas pemergian Pengerusi Tetap Dewan Ulamak PAS Pusat merangkap Ketua Lajnah As-Sabiqun Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu. Ustaz Dr. Mohd Hamdan bin Mohamed.

Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Prof Madya Dr. Haji Wan Mat Sulaiman berkata, kehilangan beliau amat dirasai kerana almarhum dikenali sebagai seorang ulama yang istiqamah dalam perjuangan Islam dan sentiasa menabur bakti dalam dakwah, tarbiah serta siasah.

“Sesungguhnya jasa almarhum amat besar kepada perjuangan Islam.

“Kehilangan ini adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Dewan Ulamak, bahkan kepada seluruh jamaah Islam,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menyeru seluruh umat Islam mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan dosa serta ditempatkan bersama para solihin.

Sementara itu, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kedah, Ustaz Haji Yusuf Ahmad memaklumkan, pihak keluarga memohon agar jenazah disolatkan terlebih dahulu di Kedah sebelum dibawa pulang ke Terengganu.

“Jenazah ayahanda akan disolatkan di Kompleks PAS Kedah Pokok Sena, Langgar selepas Zohor, insya-Allah.

“Masa sebenar akan dimaklumkan kemudian. Mohon sahabat-sahabat bersedia untuk hadir,” katanya.

Anakanda Allahyarham, Ustaz Ulwan Najmuddin Hamdan berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.58 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

“Jenazah insya-Allah akan dibawa pulang ke Terengganu untuk urusan pengebumian, manakala waktu solat jenazah akan dimaklumkan kemudian.

“Mohon sahabat-sahabat semua sedekahkan al-Fatihah dan doa buat al-marhum Ustaz Hamdan. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama para solehin,” kata Ulwan.

Ahli Dewan Negara Terengganu, YB Haji Hussin Ismail adalah sahabat karib Allahyarham, bersaksi bahawa beliau adalah seorang yang mulia dan baik dan memohon semua umat Islam mendoakan kesejahteraan arwah.

“Kembalinya kepangkuan tuhanku sahabat akrab dan seperjuanganku yang panjang sedari muda, murabbi dan sumber inspirasi, yang pastinya tiada ganti. Perginya ketika menyempurnakan urusan jamaah yang besar, dipanggil secara segera mengadap Ilahi tanpa mengheret waktu.

“Ya, Allah, kami bersaksi bahawa sahabatku ini seorang yang mulia dan baik, Kau tempatkan rohnya bersama para ambiya, syuhada dan solihiin dan Engkau penuhkan rasa reda dan kesabaran kepada seluruh ahli keluarganya,” ujar Pengerusi Tetap Muktamar Tahunan PAS itu, dalam satu mesej.

Sementara itu, menurut Mudir Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah (MTT) Tok Jiring, Ustaz Muzaihar Kamal Mustafa Kamal, selepas selesai urusan di Kedah, jenazah akan dibawa pulang ke Terengganu.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Terengganu (YAKEP) dalam Kawasan Ma’ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah (MMT), di belakang Masjid Jamek Tok Jiring Kuala Nerus,” ujarnya.

Allahyarham mengajar selama puluhan tahun di Institut Berakan Kuala Terengganu dan kemudian meneruskan khidmat beliau di MTT dan YAKEP, sehingga akhir hayatnya.