Pembinaan dan Pemantapan Jentera Parti Yang Berkualiti

793

Oleh : Rohayati Ripin

BESUT – Lajnah Penerangan Besut menegaskan bahawa pembinaan dan pemantapan jentera parti yang berkualiti, berdisiplin dan bersiap siaga perlu dilakukan dari sekarang, bukan hanya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Ketuanya, Nik Mazli Mat Yusof berkata, penekanan ini penting bagi memastikan setiap lapisan jentera, daripada peringkat negeri hingga ke Unit Daerah Mengundi (UDM), memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan lebih tersusun.

“Walaupun PRU merupakan kerja berulang yang telah sekian lama kita hadapi, program-program khas pendidikan politik mesti sentiasa diadakan.

“Pengukuhan struktur organisasi pilihanraya dari atas sehingga ke UDM mesti telah diisi dengan taklifan tertentu sekarang.

“Jangan tunggu terlalu hampir dengan PRU. Jawatan Ketua Bilik Operasi (BO) dan Ketua Bilik Gerakan (BG) pula mestilah sentiasa diberi pendedahan maklumat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan tajuk Gerak Kerja Pru16: Mempersiap Jentera Kemenangan di Ijtimak Kepimpinan PAS Negeri Terengganu 2025, Ijtimak kepimpinan PAS negeri Terengganu di Kota Putera Square, Kampung Raja, semalam.

Menurutnya, antara aspek yang diberi perhatian termasuk pendidikan politik berterusan, penguasaan teknologi dalam pengurusan jentera dan kempen.

“PAS Terengganu antara yang banyak menggunakan teknologi dalam pengurusan jentera parti, namun jentera yang arif dengan teknologi tersebut masih terhad.

“Manfaatkan penggunaan teknologi terutamanya bagi bahan kempen,” ujarnya.

Beliau menegaskan kepentingan memberi tumpuan kepada platform TikTok dan Facebook dengan mewujudkan kumpulan khas ‘like, komen dan share’ bagi memastikan setiap posting atau video mendapat capaian maksimum.

Selain itu penubuhan kumpulan Ansorullah yang mantap dari segi kekuatan fizikal dan spiritual.

“Dengan sasaran 12,000 petugas berdisiplin di seluruh negeri, PAS yakin persiapan rapi ini menjadi teras kejayaan dalam memastikan kemenangan Islam dapat terus dipertahankan pada PRU akan datang,” tambah Nik Mazli lagi.