Pembantah Palestin Berkhemah Diusir Tentera Regim Israel

966
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita12/pembantah%20palestin%20diusir.jpg

Jurucakap polis, Encik Micky Rosenfeld, berkata polis mengusir sekitar 100 penunjuk perasaan dari tapak itu setelah mahkamah membuat keputusan memberikan kuasa agar mereka diusir.

Katanya, tiada tangkapan dibuat semasa operasi setengah jam itu.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, malam kelmarin memerintahkan agar semua jalan menuju ke kawasan itu ditutup dan meminta pihak tentera mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon tertutup tentera dan tidak membenarkan sesiapa memasukinya.

Para aktivis Palestin mendirikan khemah di kawasan yang dikenali sebagai E-1 pada Jumaat lalu dan berkata mereka mahu “mengesahkan fakta di tapak itu” demi menghalang Israel meneruskan pembinaan di Tebing Barat.

Encik Rosenfeld berkata khemah-khemah itu tidak dirobohkan dan keputusan tentang apa yang akan dilakukan dengan khemahkhemah itu akan dibuat kemudian.

Para aktivis itu ‘meminjam’ frasa dan muslihat yang sering dikaitkan dengan peneroka Israel, yang percaya tindakan mewujudkan penempatan penduduk di sesuatu kawasan bermakna kawasan itu kekal milik Israel.

Mereka berkata bahawa mereka mahu mendirikan perkampungan di tapak itu, yang mereka panggil Bab Al Shams.

Pejabat Encik Netanyahu malam kelmarin menyatakan negara itu sedang mengemukakan petisyen Mahkamah Tinggi bagi membatalkan injuksi awal yang menghalang pengusiran itu.

Menurut Encik Rosenfeld, beliau tidak pasti mahkamah mana yang membenarkan pengusiran itu.

Israel telah mengumumkan ia akan mempercepatkan rancangan pembinaan petempatan di kawasan E-1 setelah Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf status Palestin sebagai sebuah negara pada November lalu.

Rakyat Palestin berkata kawasan perumahan di E-1 merupakan tamparan besar kepada aspirasi mereka membina sebuah negara kerana kawasan itu berada di antara Baitulmakdis Timur dengan Tebing Barat.

Rancangan pembinaan itu menerima kritikan hebat daripada beberapa sekutu kuat Israel termasuk Amerika Syarikat yang menentang keras projek E-1 itu.

Para pegawai Israel mengatakan pembinaan sebenar projek itu mungkin hanya berlaku beberapa tahun dari sekarang.

Sementara itu, pengkritik Israel pula mempersoalkan sama ada Encik Netanyahu benar-benar ingin membangunkan projek E-1 ataupun sekadar ingin menyenangkan hati golongan berpendirian tegar menjelang pilihan raya Israel yang akan berlangsung pada 22 Januari ini. – AP.