KUALA TERENGGANU – Program Pemantapan Bacaan Imam dan Bilal meningkatkan kualiti bacaan al-Quran dalam kalangan imam dan bilal agar lebih tepat, fasih dan memenuhi tuntutan syarak.
Timbalan Yang DiPertua PAS Kuala Nerus, YB Ustaz Ridzuan Hashim, berkata program tersebut memberi penekanan kepada aspek tajwid, makhraj dan sifat huruf bagi memastikan bacaan al-Quran yang diperdengarkan kepada masyarakat sentiasa tepat, fasih dan sempurna.
Menurut beliau, walaupun para imam dan bilal telah memiliki asas bacaan yang baik, usaha pemantapan perlu diteruskan kerana mereka memikul amanah besar sebagai pemimpin solat dan penyampai syiar Islam.
“Kesalahan pada baris, syaddah atau makhraj huruf boleh mengubah makna ayat serta menjejaskan kesahihan bacaan. Sebab itu imam dan bilal perlu sentiasa memperbaiki mutu bacaan al-Quran mereka,” jelas ADUN Buluh Gading itu, ketika dihubungi.


Beliau berkata, program julung kali diadakan di DUN Buluh Gading itu turut melibatkan penyertaan para bilal kerana mereka merupakan individu yang akan menggantikan imam sekiranya berlaku keuzuran atau halangan.
Katanya, penganjuran program tersebut merupakan hasil kerjasama KQT, Pejabat Agama dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading yang sebelum ini turut menganjurkan pelbagai program pembangunan al-Quran seperti Kuliah Al-Furqan.
Ridzuan berharap program berkenaan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif memperkasakan pengajian al-Quran di peringkat masyarakat serta melahirkan imam dan bilal yang lebih berkemahiran dalam memimpin ibadah.
































