KUALA TERENGGANU – Dewan Ulama PAS menyambut baik pelantikan Naib Presiden YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu, menyifatkannya sebagai langkah strategik dalam memperkasa agenda penyatuan ummah serta kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).
Ketua Penerangannya, YB Dato’ Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, pelantikan tersebut diharap dapat memandu gabungan itu ke arah agenda penyatuan yang menjadi teras perjuangan bersama, selain memenuhi tuntutan syarak dan keperluan mendesak dalam landskap politik semasa.
“Dewan Ulama PAS Pusat merakamkan ucapan tahniah kepada Ahmad Samsuri atas amanah ini. Agenda penyatuan ummah mesti diteruskan secara kolektif dengan dukungan padu semua parti komponen di bawah payung Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Pengerusi PN, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin atas kepimpinan dan sumbangan beliau dalam meletakkan asas kukuh kepada gabungan tersebut serta memacu kestabilan politik negara sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Mengulas mengenai hala tuju baharu, Mohd Nor menegaskan bahawa kepimpinan ini perlu mempergiat kerjasama strategik antara parti komponen serta membuka ruang libat urus yang lebih luas dengan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam. Menurutnya, suara ummah perlu diraikan dalam pembentukan dasar yang tersusun demi masa depan negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera dan penyokong PN agar memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkemas gerak kerja organisasi dan memperkukuh kesatuan saf.
“Kesiapsiagaan, kesatuan saf dan kejelasan mesej perjuangan adalah kunci utama dalam memastikan mandat rakyat dapat diraih dengan lebih meyakinkan pada pilihan raya akan datang,” katanya.



























