Pejabat As-Sabiqun Perkukuh Pengurusan Veteran PAS

105

KUALA NERUS – Urusan As-Sabiqun PAS Kawasan Kuala Nerus telah membuka pejabat pentadbiran rasmi di Kompleks Tarbiyah At-Taqwa (KOMTAQ), Batu Enam, memperkukuh pengurusan dan kebajikan golongan veteran PAS di kawasan itu.

Ketua Urusan As-Sabiqun PAS Kawasan Kuala Nerus, Ustaz Zakaria Dagang, berkata pembukaan pejabat berkenaan merupakan langkah strategik bagi memastikan segala aktiviti dan urusan dapat dijalankan dengan lebih tersusun dan berkesan.

“Bilik pejabat ini merupakan yang pertama beroperasi di tingkat atas KOMTAQ yang turut menempatkan pejabat pentadbiran PAS Kawasan dan Dewan-Dewan, selain bilik mesyuarat dan bilik Yang Dipertua PAS Kawasan,” jelas beliau ketika dihubungi hari ini.

Menurut Ustaz Zakaria, pejabat ini akan menjadi pusat kegiatan Urusan As-Sabiqun di Kuala Nerus.

Ustaz Zakaria Dagang

“Insya-Allah, selepas ini segala aktiviti akan lebih teratur dan memberi impak positif dalam menangani kebajikan golongan veteran dalam PAS,” tambahnya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada PAS Kawasan Kuala Nerus atas kesudian menyediakan ruang pejabat berkenaan, yang disifatkan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap peranan penting golongan As-Sabiqun dalam perjuangan parti.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak, berharap agar segala urusan dipermudahkan oleh Allah SWT, setiap langkah diberkati, niat dimurnikan, dan setiap pengorbanan diterima sebagai amal soleh dalam keredaanNya.

Majlis perasmian pejabat Urusan As-Sabiqun PAS Kawasan Kuala Nerus telah disempurnakan di tingkat atas KOMTAQ, Batu Enam, Kuala Nerus.