KUALA TERENGGANU — PAS dilihat paling layak diberi tanggungjawab memimpin Perikatan Nasional (PN) berdasarkan kekuatan menyeluruh di semua peringkat.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Dungun, Naraza Muda berkata, kelebihan PAS terserlah melalui jaringan akar umbi yang meluas dengan cawangan-cawangan aktif serta petugas setia di peringkat bawah.
Di samping itu, katanya kekuatan wakil rakyat yang signifikan melibatkan hampir 150 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 43 Ahli Parlimen.
“PAS mempunyai wakil paling ramai di Parlimen jika diukur dari sesebuah parti tanpa gabungan,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut menegaskan, sejarah kepimpinan PAS yang istiqamah serta rekod bersih tanpa rasuah menjadi aset penting meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti itu.
Sehubungan itu, Naraza berpandangan PAS bukan sahaja wajar mengambil peranan lebih besar dalam PN, malah berpotensi mengemudi gabungan tersebut sebagai parti utama dalam usaha memimpin kerajaan Malaysia dalam masa terdekat.


Sementara itu, Yang Dipertua PAS Setiu, Ustaz Zul Bhari A Rahman menyatakan sokongan penuh agar PAS diberi kepercayaan memimpin Perikatan, selari dengan kekuatan akar umbi parti dan keperluan mengotakan agenda Islam Memimpin.
Menurut beliau, sudah sampai masanya PAS memainkan peranan utama dalam kepimpinan berteraskan nilai Islam.
Namun katanya, penentuan hala tuju perlu dibuat secara bijaksana melalui perbincangan pimpinan agar lebih responsif terhadap realiti semasa.
“PAS menyambut baik sebarang usaha yang dapat menyelamatkan kesepaduan ummah serta mempertahankan kedaulatan negara.
Kepimpinan yang inklusif dan merentas sempadan bangsa amat penting demi kestabilan dan keharmonian,” katanya.
Justeru itu, beliau turut menegaskan komitmen PAS Kawasan Setiu untuk terus memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai kaum melalui pendekatan berprinsip, amanah dan berteraskan kebajikan, seiring aspirasi membina negara yang adil dan sejahtera.




























