KUALA TERENGGANU — PAS Kawasan Besut menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan hak ke atas tanah seluas 14,700 hektar yang kini diusahakan oleh Felda tanpa melibatkan peneroka.
Setiausahanya, Haji Shalahhudin bin Jaafar, berkata, tanah tersebut telah diusahakan oleh Felda sejak lebih 40 tahun lalu, namun hasil dan keuntungannya tidak pernah disalurkan kepada kerajaan negeri atau rakyat Terengganu.
Katanya, tanah tersebut diusahakan oleh Felda tanpa melibatkan peneroka, dengan hasil keuntungannya terus dimasukkan ke dalam kantung Felda dan baru-baru ini telah diserahkan kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).
“Selama lebih 40 tahun Felda telah mengaut keuntungan yang banyak tanpa memberi pulangan kepada rakyat Terengganu.
“Tempoh yang diberi 40 hari sepatutnya Felda memberi respon yang baik,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini.
Beliau menegaskan, sekiranya Felda terus enggan memberi kerjasama, kerajaan negeri wajar mengambil tindakan undang-undang demi memastikan hasil bumi negeri tidak terus dipinggirkan.
“Jika Felda tidak bersetuju dengan cadangan itu patutlah kerajaan Terengganu mengambil tindakan undang-undang supaya rakyat negeri mendapat juga faedah daripada tanah-tanah yang diusahakan tanpa peneroka itu.
“Jika isu ini tidak mendapat kerjasama daripada Felda saya cadangkan tanah seluas hampir lima belas ribu hektar ini diambil balik dan dibahagikan kepada peneroka,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan hanya menuntut hak untuk mendapatkan sebahagian keuntungan daripada keluasan tanah tersebut.
“Jika dibahagikan 10 ekar seorang, seramai 3,700 orang keluarga miskin dapat dimasukkan sebagai peneroka baru,” ujarnya.
Justeru itu, beliau berharap isu ini dapat diselesaikan segera secara adil dan berpihak kepada kepentingan rakyat Terengganu.





























