Latihan Taktikal APMM; PAS Tuntut Penjelasan Segera Menteri

434
Takiyuddin menunjukkan gambar yang dirakam melalui video masjid Rusila

KUALA LUMPUR, 23 OKTOBER 2025 – Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menuntut penjelasan segera daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung laporan latihan taktikal oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang didakwa dijalankan di kawasan Masjid Kampung Rusila, Marang, Terengganu pada 19 September lalu.

Menurut beliau, perkara itu dibangkitkan dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat selepas menerima maklumat serta laporan rasmi daripada pihak pengurusan masjid berkenaan.

“Persoalan asas yang saya bangkitkan ialah, apakah SOP yang digunakan oleh KDN terhadap sebarang latihan melibatkan agensi penguatkuasaan, khususnya jika ia berlaku berhampiran kawasan ibadat umat Islam,” tegas beliau pada sidang media di luar Dewan Rakyat hari ini

Kata Takiyuddin, semakan bersama pihak masjid mendapati terdapat aktiviti mencurigakan berlaku di sekitar kawasan ibadat tersebut seperti dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

“Rakaman CCTV menunjukkan tiga individu lelaki berpakaian biasa memasuki ruang solat wanita dalam keadaan tergesa-gesa dan mencurigakan,

“Selain itu, kelihatan sebuah kereta perak diletakkan berhampiran pagar kediaman Ahli Parlimen Marang, manakala lebih 10 individu berpakaian biasa berkeliaran di perkarangan masjid,” katanya.

Beliau menegaskan tiada sebarang pemakluman atau permohonan kebenaran diterima oleh pihak pengurusan Masjid Rusila sebelum kejadian berlaku.

Tambahnya, pihak Pengurusan Masjid Rusila,menafikan beri kebenaran, bahkan kesal tindakan APMM.

“Kenyataan itu menegaskan pihak masjid tidak pernah menerima sebarang permohonan aktiviti seperti didakwa oleh APMM, malah PDRM turut mengesahkan tiada sebarang latihan agensi dijalankan pada tarikh berkenaan.

“Selepas laporan polis dibuat, pihak masjid dimaklumkan bahawa pegawai Maritim Malaysia telah memohon maaf secara lisan melalui panggilan telefon,” ujar beliau.

Tambah Takiyuddin, berdasarkan surat rasmi APMM bertarikh 11 September 2025 bertajuk “Pemakluman Latihan Pelarian dan Pelolosan Kursus Asas Komando Star Team APMM”, latihan itu berlangsung dari 17 hingga 22 September melibatkan kawasan Besut, Setiu, Kuala Terengganu dan Marang.

“Surat itu menyatakan latihan melibatkan 30 anggota dengan penggunaan senjata api Colt M4 Carbine dan Glock 17 serta peluru hidup 9mm dan 5.56mm,” dedahnya.

Beliau menegaskan isu ini bukan perkara kecil, sebaliknya melibatkan keselamatan awam dan kehormatan tempat ibadat.

“Ini bukan latihan biasa. Ia guna peluru hidup, dan dilakukan berhampiran masjid, tempat suci umat Islam,” katanya tegas.

Takiyuddin memberi ingataan agar pihak kerajaan mengambil serius isu ini supaya tidak berulang peristiwa hitam seperti Tragedi Memali.

“Kita tidak mahu lagi melihat kejadian yang boleh mencetuskan ketegangan di kawasan ibadat. Kami bukan menentang pegawai kerajaan, tetapi menuntut kejelasan dasar dan SOP yang diguna pakai,” ujarnya.

Justeru katanya, PAS tuntut siasatan telus pihak berkuasa berkenaan perkara tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa pihaknya mempunyai bukti rakaman video penuh kejadian yang menunjukkan beberapa individu berlari keluar dari masjid dan menaiki kenderaan dengan tergesa-gesa.

“Aksi dalam video itu jelas seolah-olah latihan menyelamat atau mencolek. Tapi persoalannya, kenapa di masjid? Maritim bidangnya laut, bukan darat. Takkan masjid tu masjid terapung,” katanya sinis.

Takiyuddin menegaskan bahawa semua kenyataannya berasaskan fakta, bukti dan laporan rasmi daripada pihak masjid.

“Kami sanggup disiasat. Apa yang dibangkitkan ini bukan fitnah, tetapi berpaksikan kebenaran,”

“Tujuan kita jelas, menjaga keselamatan rakyat dan mempertahankan kehormatan masjid sebagai tempat suci umat Islam,” katanya.