KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Terengganu menegaskan golongan muda mesti lebih peka terhadap isu Urban Renewal Act (URA) kerana ia melibatkan masa depan pemilikan tanah, tempat tinggal dan hak komuniti asal.
Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Hamdi Harun berkata, anak muda tidak boleh memandang ringan undang-undang berkenaan kerana kesannya akan diwarisi generasi seterusnya.
“Isu URA bukan isu kecil. Ia membabitkan masa depan pemilikan tanah, tempat tinggal dan nasib komuniti asal.
“Jika undang-undang sebegini dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa rundingan menyeluruh, generasi mudalah yang akan menanggung akibatnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut merujuk kepada isu Kampung Sungai Baru yang menurutnya membuktikan bagaimana undang-undang dan projek pembangunan yang tidak telus boleh menekan rakyat kecil.
Hamdi menegaskan, Pemuda PAS Terengganu menyatakan solidariti bersama rakyat yang bakal berhimpun pada Himpunan URA pada 4 Oktober ini, sebagai usaha menyuarakan pendirian secara aman dan beradab.
Katanya, anak muda perlu melihat himpunan itu sebagai medan kesedaran untuk mempertahankan hak rakyat dan tanah air, bukan sekadar hadir secara fizikal.
“Perjuangan ini bukan politik sempit, tetapi tuntutan demi masa depan bangsa dan tanah air.
“Merdeka sebenar ialah apabila rakyat bebas bersuara, tanah air terpelihara dan generasi muda dijamin masa depannya,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar rakyat turun beramai-ramai menyatakan solidariti dalam Himpunan URA nanti.
Hamdi menambah, himpunan itu merupakan hak demokratik yang dijamin Perlembagaan dan wadah rakyat menyuarakan kebimbangan serta bantahan terhadap undang-undang yang memberi kesan besar, khususnya berkaitan tanah dan penempatan.
“Himpunan ini medan kesedaran. Hadirlah dengan niat mempertahankan hak rakyat dan menzahirkan imej Islam.
“Perjuangan ini bukan politik murahan, tetapi tuntutan demi masa depan bangsa dan tanah air,” tegasnya.