Oleh : Nur Amira Amijudin
BESUT – Keprihatinan masyarakat terhadap golongan memerlukan terus terserlah apabila seramai 63 penerima menerima bantuan menerusi Program Sumbangan Kasih Ramadan yang dianjurkan Kelab Kebajikan Ummu Asiah Besut.
Pengerusi kelab, Dr Norma Mohamad berkata, pihaknya amat menghargai sokongan para penyumbang yang sentiasa bersama menjayakan setiap program kebajikan anjuran kelab itu.
“Program tersebut berjaya dilaksanakan hasil sumbangan orang ramai yang mengumpul dana hampir RM8,000 bagi membantu golongan kurang berkemampuan membuat persiapan menjelang Ramadan yang penuh keberkatan,” jelasnya ketika ditemui pihak media, semalam.
Menurutnya, sumbangan yang disalurkan bukan sahaja dapat meringankan beban penerima, malah menjadi bukti semangat kebersamaan masyarakat dalam membantu mereka yang memerlukan, terutamanya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar.


“Ramadan adalah bulan yang mengajar kita tentang erti keinsafan, keprihatinan dan berkongsi rezeki.
“Justeru, program seperti ini menjadi ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama membantu golongan yang kurang bernasib baik agar mereka juga dapat menyambut Ramadan dengan lebih tenang dan bermakna,” katanya.
Beliau menambah, pihak kelab akan terus komited melaksanakan lebih banyak program kebajikan pada masa hadapan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada lebih ramai golongan yang memerlukan.


“Semoga setiap sumbangan yang diberikan ini mendapat ganjaran berlipat ganda daripada Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW bahawa malaikat sentiasa mendoakan kebaikan kepada mereka yang bersedekah,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa kelab yang bertungkus-lumus mengumpul dana serta menjayakan program agihan bantuan tersebut dengan penuh komitmen dan semangat sukarelawan.
Program berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah turut memperkukuh nilai kebersamaan, kasih sayang dan budaya saling membantu dalam kalangan masyarakat, selari dengan semangat Ramadan yang menuntut umat Islam memperbanyakkan amalan kebajikan.





























