NGO Nadir Lancar Dua Tabung Bantu Warga Gaza Hadapi Musim Sejuk

1833

Bersempena hujung tahun 2016, Persatuan Cinta Gaza Malaysia sukacita melancarkan dua buah projek penutup, Bantuan Untuk Pendidikan (Aid For Education) dan Bantuan Untuk Musim Sejuk (Aid For Winter).

Menurut Pengerusinya, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, kutipan kedua-dua tabung tersebut akan diagihkan untuk meliputi bantuan kepada empat buah sekolah di Gaza dan Khan Younis.

“Sekolah-sekolah ini terletak di Gaza, lebih khusus di kawasan Gaza Tengah iaitu kawasan Sha’af dan Shijaiyyah,

“Secara purata setiap sekolah ada 1000 orang pelajar, kedua-dua sekolah Darul Arqam diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yassin untuk anak-anak yatim syuhada’,

“sementara sekolah Dalal Al-Moghrabi dan sekolah Tuffah adalah sekolah kerajaan yang dikhususkan untuk perempuan,”katanya ketika menghubungi kami.

Tabung Gaza1Beliau berkata, buat masa ini, Gaza dalam keadaan baik cuma tidak ada apa-apa perubahan sejak tamat peperangan.

Katanya, ribuan penduduk masih memerlukan bantuan kerana tinggal di kem-kem sementara, khususnya di musim sejuk ‘yang menggigit’ sekarang.

Beliau turut mengucapkan syukur kerana, pintu sempadan Rafah semakin kerap dibuka oleh pemerintah Mesir.

“Perkembangan yang ada ialah sempadan Rafah yang semakin kerap dibuka, tetapi bukan dengan sebab budi-bicara Mesir, ia lebih kepada sebab pertelingkahan politik dalaman di dalam Palestin.

“Buktinya ialah tindakan Mesir yang menolak untuk diluluskan resolusi Majlis Keamanan PBB untuk menghentikan pembinaan penempatan haram di tanah Palestin yang dijajah,

“walaupun akhirnya resolusi tersebut diluluskan dengan nisbah 14-0, dengan Malaysia menjadi salah satu anggota majlis yang menggesa resolusi tersebut diluluskan,”kata beliau mengulas situasi di Gaza dan Palestin.

Justeru beliau yang berasal dari Bangi Selangor, menyeru seluruh rakyat Malaysia berkongsi rasa, menyumbang kepada kedua-dua dana tersebut.

“Sumbangan boleh dibua melalui akaun rasmi Persatuan Cinta Gaza Malaysia, di Maybank No. Akaun 5648 1050 7826 dan hantarkan maklumat sumbangan kepada whatsapp Nadir Gaza +60197095092,

“untuk setiap sumbangan bernilai RM100 ke atas, NGO kami in sha Allah, akan memberikan hadiah Kalendar Edisi Khas Warna-warni Gaza 2017, dengan gambar pemandangan yang tidak pernah dilihat di Gazza,”ujarnya lagi.