

Lawatan Menteri Pertahanan Malaysia ke Mindanao baru-baru ini dilihat boleh memberi sedikit pengharapan terhadap proses damai antara Kerajaan baru Filipina dibawah Presiden barunya, Aquino dan MILF dibawah kepimpinan Haji Murad Ebrahim. Umat Islam Mindanao sememangnya bersedia untuk berunding dengan kerajaan Filipina sejak tercetusnya persengketaan di Wilayah tersebut. Pelbagai gejatan senjata dan rundingan telah diadakan sebelum ini namun segalanya menemui jalan buntu setelah pihak kerajaan Filipina dan pihak tentera mencabulinya.
Rakyat Mindanao yang majoritinya beragama Islam dan berasal dari rumpun Melayu nusantara telah lama dinafikan hak mereka dalam pentadbiran. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mereka mendapatkan hak mereka dalam pemerintahan namun tidak diendahkan. Sikap ‘double standard’ kerajaan Filipina yang terdahulu terhadap Bangsa Moro Islam ini telah berlanjutan sejak sekian lama. Kewujudan pelbagai kumpulan Islam disana adalah satu perkembangan yang sihat.
Walaupun mereka dilihat seolah tidak bersatu dalam method dan strategi namun misi dan visi rakyat Moro Mindanao adalah sama iaitu untuk mendapatkan hak kesaksamaan dan keadilan terutamanya dalam pemerintahan dan ekonomi. Setelah tidak mendapat tempat dibumi sendiri, rakyatnya bangkit dengan senjata bagi mendapat keadilan. Lantas Barat dan kebanyakan Negara melabelkan pejuang-pejuang ini sebagai ‘pengganas’. Kerajaan Malaysia juga dulu menganggap kumpulan-kumpulan Islam seperti MILF sebagai kumpulan ekstrim yang menolak rundingan dan sebaliknya mengiktiraf MNLF (Moro National Liberation Front/ Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro) yang akhirnya meletak senjata dan berkerjasama dengan kerajaan Filipina.
Namun akhirnya mereka tertipu apabila hanya memegang jawatan ‘boneka’ dari Kerjaaan Filipina. MILF meneruskan perjuangan mereka untuk mendapatkan hak dan keadilan. Barat terus menekan mereka sebagai puak pengganas. Malangnya Negara-negara Islam juga seperti dicucuk hidung oleh Amerika Syarikat yang melabel MILF sebagai kumpulan pengganas.
Di Malaysia, hanya PAS yang kekal dengan pendirian sejak dulu yang mengiktiraf MILF sebagai pejuang bagi umat Islam Mindanao. Namun perkembangan terkini hari ini, dengan lawatan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia akan peranan MILF. Adalah diharapkan dunia Islam yang juga akan memberikan sokongan dan pengiktirafan terhadap perjuangan MILF sebagai tanda kepada Kerajaan Filipina bahawa rundingan perlu dijalankan dengan telus dan adil.
DR RAJA AHMAD AL-HISS
Pengerusi
Lajnah Antarabangsa
Dewan Pemuda PAS Pusat
Klik Untuk Berita Lanjut >>




























