KUALA TERENGGANU – Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) dalam proses berperingkat naik taraf dan penstrukturan semula, bakal dibangunkan dengan sebuah Sekolah Imtiaz baharu.
Pengerusi Lujnah Pendidikan PAS Negeri Terengganu, Dato’ Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, hari ini diumumkan dan ambil masa untuk selesai, bukan esok pelajar kena keluar serta merta.
“Ibu bapa yang mempunyai sebarang isu berkaitan penukaran sekolah atau penukaran asrama anak-anak, diminta supaya terus berurusan dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Pejabat Yayasan Terengganu (YT),
“Saluran ini di wujudkan bagi memastikan setiap masalah dapat diberi penjelasan dan penyelesaian yang betul,
“Keutamaan diberikan kepada pelajar terlibat supaya tidak timbul masalah persekolahan pada tahun hadapan,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri Terengganu berkata demikian melalui satu kenyataan rasmi semalam.


Oleh itu kata beliau, YT juga telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama ibu bapa dan menerima pelbagai pertanyaan berkaitan pelaksanaan keputusan tersebut.
“Ini menunjukkan kebimbangan ibu bapa didengari dan diambil kira, bukan di abaikan dan tempoh pelaksanaan keputusan ini pula adalah sehingga Jun 2026,
“jika menjelang tempoh tersebut masih wujud isu atau keperluan mendesak, perkara itu masih boleh dibincangkan semula berdasarkan situasi sebenar. ” katanya.
Justeru apa yang penting, tambah beliau, keputusan diambil bukan bertujuan menekan atau menindas mana-mana pihak.
“Semua data pelajar terlibat telah diambil, dan usaha sedaya upaya akan dilakukan untuk menempatkan mereka di lokasi yang sepatutnya. Insya-Allah tidak akan ada pelajar yang tercicir.
“Ibu bapa dinasihatkan supaya berhubung secara terus dengan pihak YT atau PPD sekiranya mempunyai sebarang masalah, dan bukannya menularkan isu di media sosial yang boleh menimbulkan salah faham serta persepsi negatif,” katanya.
Katanya, secara ringkas untuk difahami perubahan ini sedang diurus dengan perancangan, komunikasi dan tanggungjawab.
” Demi memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara, ” tegas beliau





























