KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu menyokong penuh usul mendesak Kerajaan Persekutuan mengambil langkah menyeluruh bagi menangani kenaikan kos sara hidup yang diterima pada Muktamar PAS Ke-72, susulan tekanan perbelanjaan yang semakin dirasai isi rumah.
Ketua Penerangannya, Rohayati Nordin berkata, isu kos sara hidup bukan lagi membabitkan kelompok tertentu, sebaliknya memberi kesan langsung kepada keluarga, khususnya wanita yang menguruskan keperluan harian isi rumah.
Menurutnya, berdasarkan Analisis Indeks Harga Pengguna 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), inflasi keseluruhan Malaysia pada 2025 adalah 1.4 peratus, manakala kumpulan Makanan dan Minuman meningkat 2.1 peratus.
“Di Terengganu pula, inflasi kumpulan Makanan dan Minuman pada tahun 2025 ialah 2.4 peratus. Maknanya memang terdapat peningkatan harga yang dirasai pengguna dan perkara ini tidak boleh kita nafikan atau pandang ringan.
“Bagi Muslimat, kita melihat isu ini dari dekat kerana wanita, khususnya ibu, merupakan antara individu yang paling awal merasai perubahan harga kerana mereka menguruskan perbelanjaan dapur, persekolahan anak, pengangkutan, bil utiliti dan keperluan harian keluarga,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Rohayati berkata, kenaikan harga yang berlaku ketika pendapatan isi rumah tidak berkembang pada kadar sama akan terus menekan kuasa beli rakyat dan meningkatkan beban perbelanjaan keluarga.
Katanya, usul berkenaan tidak wajar dilihat sebagai isu politik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada langkah konkrit melibatkan harga makanan, bekalan, subsidi, pengangkutan, rantaian bekalan serta usaha meningkatkan pendapatan rakyat.
“Ukuran ekonomi tidak boleh bergantung semata-mata kepada angka pertumbuhan. Ukuran yang rakyat faham ialah berapa banyak yang masih tinggal dalam dompet mereka selepas semua keperluan asas keluarga dibayar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rohayati menambah, Dewan Muslimat PAS Terengganu mahu usul tersebut diteruskan melalui gerak kerja di peringkat akar umbi dan tidak terhenti selepas Muktamar PAS berakhir.
Katanya, Muslimat di peringkat kawasan, DUN dan akar umbi akan memainkan peranan mengenal pasti masalah masyarakat, khususnya berkaitan harga barang, makanan, perkhidmatan dan tekanan perbelanjaan isi rumah.
“Maklumat daripada rakyat ini perlu dikumpulkan secara lebih sistematik dan dibandingkan dengan data rasmi seperti DOSM supaya perjuangan kita berasaskan fakta dan pengalaman sebenar rakyat, bukan sekadar sentimen politik.
“Perkara yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan mesti terus dibawa melalui wakil rakyat PAS dan Perikatan Nasional di Parlimen serta saluran berkaitan,” ujar Rohayati.
Tambahnya, tekanan yang mahu dibina oleh Muslimat adalah berasaskan fakta, suara rakyat dan penyelesaian, bukannya sekadar kritikan terhadap kerajaan.
Pada masa sama, katanya, pihaknya bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi menangani perkara yang berada dalam bidang kuasa negeri.
“Prinsip kita mudah, apa yang boleh diselesaikan di Terengganu, kita usahakan bersama Kerajaan Negeri. Apa yang berada dalam bidang kuasa Persekutuan, kita akan terus suarakan dan tuntut penyelesaiannya,” tambah beliau.



























