Muslimat Tekad Kerja Tiga Kali Lipat

175

KUALA TERENGGANU – Muslimat PAS Terengganu bertekad akan bekerja tiga kali lipat untuk mempertahankan kemenangan 32 – 0 DUN Terengganu di Pilihan Raya Umum ke 16(PRU16) nanti.

Ketuanya, To’ Puan Zarani Othman melahirkan keazaman tersebut sambil berkata jika di PRN15 kita bekerja tiga kali ganda tetapi diatas kepercayaan rakyat Terengganu yang memberi undi kepada PAS, muslimat akan tingkatkan lagi.

“Untuk mempertahankan kemenangan ini bukan mudah, jadi muslimat akan bekerja akan bekerja dengan lebih gigih lagi daripada sebelumnya,

” Program Jaulah ke Pulau Perhentian selama tiga hari dua malam, pada 11 hingga 13 September lepas adalah sebagai satu tanda, Muslimat Terengganu sentiasa prihatin dan cakna kebajikan rakyat.

” Slot ziarah dua hari rumah ke rumah bertujuan untuk mengenali lebih dekat kehidupan rakyat di sini, keperitan hidup mereka dalam situasi sekarang dengan kenaikan harga barang dan kos hidup yang tinggi.

” Sedih melihat mereka, ada tinggal tujuh keluarga dalam satu rumah yang sempit,” ujarnya lagi dengan nada yang sebak.

Tambah beliau lagi, bila tiba musim tengkujuh ada yang terpaksa beralih kerja lain untuk menanggung keluarga kerana kemasukan pelancong ke pulau itu ditutup dalam beberapa bulan setiap tahun.

“Disamping kebanyakan barangan keperluan perlu dibeli di darat(bandar Kuala Besut) yang menyebabkan harga mahal,

” Semua ini memerlukan kecaknaan kita semua dimana kerajaan perlu mencari jalan penyelesaiannya.

” Dalam tugas berdakwah dan berkebajikan, muslimat PAS, insyaa-Allah akan terus bergerak tidak kira masa dan tempat, kerja kita tidak bermusim walaupun baru lepas pilihan raya, kita sambung kerja kerana segala kerja buat kita untuk meraih kasih sayang dan keredhaan Allah,” jelasnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rombongan seramai 26 orang yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Terengganu itu telah berada di sana selama tiga hari bermula 11 September.

Sempena lawatan tersebut juga, To’ Puan Zarani telah merasmikan penubuhan Muslimat PAS Cawangan Pulau Perhentian dengan Normurni Shamsudin telah dilantik sebagai Ketua Muslimat yang pertama.

Sementara itu, ketika merasmikan program tersebut Pengarah MTD Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berharap Muslimat Cawangan menggunakan peluang kunjungan itu menimba ilmu sebanyak mungkin.

“Semoga, insya-Allah semua penduduk di pulau ini menjadi ahli dan penyokong PAS,” katanya.

Selain ziarah ke rumah – rumah yang terpilih turut diadakan sukaneka di hari kedua program itu yang bertujuan untuk mengenali lebih dekat masyarakat di sana.

Turut hadir di majlis tersebut ialah isteri Haji Azbi, Norazida Ismail.