Sebuah musalla di perkampungan Tolikara, Papua, Indonesia di bakar ketika para jamaahnya sedang siap untuk menunaikan solat sunat Eidulfitri.
Metro TV melaporkan peristiwa itu terjadi kira-kira jam 07.00 Waktu Indonesia Timur, Jumat 17 Julai, saat imam sedang mengangkat takbir yang pertama.
Tiba-tiba beberapa orang dilaporkan sebagai ‘ekstremis Kristian’ mendekati jemaah dan berteriak, menyebabkan orang ramai ketakutan dan lari keluar dari musalla itu.
Para jamaah menyelamatkan diri apabila sejam kemudian, para ‘pengacau’ melempar batu ke arah musala Baitul Muttaqin dan membakarnya.
Selain musala, enam rumah dan sebelas kedai turut menjadi sasaran amukan itu.
Timbalan Presiden Indonesia, Jusuf Kalla menyatakan kekesalan terhadap kejadian tersebut dan berharap pihak polis dapat segera menyelesaikan masalah itu.
“Saya kesal dengan kejadian itu. Saya yakin pihak polis setempat dapat menyelesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui Tv tersebut seusai solat Jumat di kediaman beliau, Jalan Medan Merdeka Selatan.
Menurutnya, peristiwa yang terjadi itu adalah berpunca dari perselisihan dua kelompok Islam dan Kristian sama-sama mengadakan acara di tempat yang berdekatan dengan menggunakan pembesar suara.
“Ada dua acara berdekatan di situ. Memang asalnya soal ‘speaker’ itu,” ungkap Jusuf.
Beliau menggesa agar kedua pihak saling menahan diri dan saling meningkatkan rasa toleransi.
“Mestinya dua-duanya menahan diri. Yang mempunyai acara lain juga harus memahami. Saling memahamilah masalah itu,”tegasnya.










