KOTA BHARU – Bertemakan ‘Penyelesaian Islam Mengisi Kemenangan’ Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 adalah terpenting bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-16.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Haji Awang berkata, dalam muktamar ini PAS akan menegaskan hala tujunya bagi mempersiapkan parti untuk mengisi kemenangan, seterusnya mengorak langkah ke tahap yang lebih tinggi.
“Pada muktamar yang lalu, kita memperingatkan bahawa Islam ialah penyelesaian berpandukan hidayah Allah dan keyakinan bahawa islam ialah ad-din yang sempurna,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PAS ‘Penyelesaian Islam Mengisi Kemenangan’, di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, PAS kini semakin diterima dan melebarkan pengaruhnya di banyak negeri.
“Alhamdulillah, PAS telah dikurniakan pertolongan (nusrah) daripada Allah, memenangi 43 kerusi parlimen, 149 kerusi DUN dan mentadbir empat buah negeri.
“Di samping melebarkan pengaruh di beberapa negeri pantai barat dan selatan tanah air,” katanya.
Justeru, dengan kemenangan yang dicapai menjadi kewajipan kepada PAS mengisi kemenangan.
“Walaupun tidak berjaya sepenuhnya. Cabaranya jauh lebih besar daripada mencapai kemenangan,” ujar beliau.





























