Misi PBB: Serangan AS Ke atasi Iran Mempunyai Unsur Jenayah Perang

5
serangan pertama. as mengenai sekolah rendah shajareh tayyebeh di minab, wilayah hormozgan

GENEVA: Misi Pencari Fakta Antarabangsa Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Iran mendapati terdapat asas munasabah untuk mempercayai bahawa Amerika Syarikat (AS) melakukan jenayah perang dalam dua serangan udara yang mengorbankan orang awam di Iran pada Februari lalu.

Menurut laporan misi berkenaan, serangan pertama mengenai Sekolah Rendah Shajareh Tayyebeh di Minab, wilayah Hormozgan, yang dikenal pasti sebagai kemudahan awam. Serangan itu dilaporkan mengorbankan lebih 150 orang, termasuk kira-kira 120 kanak-kanak menurut sumber yang dipetik dalam laporan tersebut.

Misi itu berkata serangan tersebut merupakan serangan tanpa pembezaan yang mengakibatkan kematian orang awam serta kerosakan terhadap objek awam, sekali gus memenuhi ciri jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.

Penyiasat turut mendapati terdapat alasan untuk mempercayai bahawa pihak AS mempunyai maklumat risikan yang mendakwa seorang komander kanan tentera Iran berada di lokasi berkenaan, namun maklumat itu tidak disahkan dengan secukupnya sebelum serangan dilancarkan.

“Sekolah itu merupakan objek awam yang dikenal pasti dengan jelas,” menurut dapatan misi tersebut, yang turut menyatakan tiada bukti ditemui bahawa sekolah berkenaan digunakan bagi tujuan ketenteraan.

Warga berkumpul untuk upacara pengebumian beramai-ramai pelajar dan kakitangan yang terkorban dalam serangan A.S.-Israel ke atas sebuah sekolah di Minab, wilayah Hormozgan di selatan Iran, 3 Mac 2026.

Serangan kedua yang disiasat berlaku di sebuah pusat sukan di Lamerd, juga di selatan Iran. Menurut misi PBB, serangan itu turut menjejaskan bangunan kediaman dan sebuah sekolah berhampiran serta menyebabkan 22 orang awam terbunuh atau cedera. Misi berkenaan mengklasifikasikan serangan itu sebagai serangan tanpa pembezaan dan menyifatkannya sebagai jenayah perang.

Bagaimanapun, AS belum menerima tanggungjawab secara langsung terhadap serangan berkenaan. Pentagon juga belum menerbitkan hasil siasatan dalaman berkaitan serangan sekolah Minab, manakala Pemerintah Pusat AS sebelum ini menafikan bahawa pasukannya melakukan serangan di Lamerd pada tarikh tersebut.

Pada masa sama, laporan misi PBB turut mendapati bahawa pihak berkuasa Iran melakukan pelanggaran hak asasi manusia yang serius dan jenayah terhadap kemanusiaan dalam tindakan keras terhadap demonstrasi anti-kerajaan. Dapatan itu meliputi pembunuhan, penyeksaan, penahanan sewenang-wenangnya dan kehilangan secara paksa.

Justeru, laporan tersebut bukan sahaja meneliti tindakan ketenteraan AS dan Israel terhadap Iran, tetapi juga tindakan kerajaan Iran terhadap rakyatnya sendiri.

Perkembangan itu menambah tekanan antarabangsa supaya semua pihak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan melindungi orang awam dalam konflik bersenjata. Setiausaha Agung PBB António Guterres sebelum ini menegaskan bahawa semua pihak mesti menghormati undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta melindungi orang awam.