Mengenang Jasa Kepimpinan Masa Lalu

482

Oleh : Akid Hafriz

KUALA TERENGGANU – Dalam usianya mencapai 70 tahun PAS memiliki kepimpinan masa lalu yang gigih dan dedikasi dalam menentukan hala tuju masa kininya.

Pengerusi Sidang Assabiqun Se-Malaysia, Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed berkata, mereka terus berjuang dan ada yang masih istiqamah sehingga sekarang.

“Kita perlu berterima kasih dan berbangga dengan tokoh kita yang lalu kerana tanpa perjuangan mereka mungkin kita tidak akan kenal PAS.

“Disebabkan kesungguhan jihad mereka untuk mendaulatkan Islam itulah, maka alhamdulillah PAS masih teguh sampai ke hari ini dan insyaAllah sampai bila-bila,” kata beliau.

Dr. Mahfodz berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun PAS Ke-70 di Dewan Konvesyen, Taman Tamadun Islam (TTI) pada Ahad 12 Disember.

Oleh itu, menurut beliau, Assabiqun Se-Malaysia telah mengadakan Seminar Tokoh Assabiqun bagi mengenang jasa perjuangan empat orang tokoh Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Katanya, tokoh-tokoh tersebut ialah Almarhum Dato’ Dr. Abbas Alias, Almarhum Tuan Haji Subky Abdul Latif, Dato’ Haji Mustafa Ali dan Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed.

“Apa yang kita sumbangkan sedikit sebanyak dalam assabiqun ini akan dinikmati keberkatannya oleh anak cucu kita,” tambah beliau.

Seminar Tokoh Assabiqun tersebut telah dibentangkan oleh Pengarah Islamic Institute Of Department Research On Democracy, Dr. Haji Mohd Fadli Ghani dengan menceritakan tentang sejarah tokoh-tokoh berkenaan.

Selain itu, beliau turut berkongsikan perwatakan dan ciri-ciri kepimpinan yang ada pada mereka dalam memimpin perjuangan PAS menghadapi cabaran pada era tersebut.

Seminar Tokoh Assabiqun ini telah diadakan di Bilik Telepok, Muzium Negeri Terengganu dan dihadiri seramai lebih 100 orang assabiqun dari seluruh negara.