KUALA TERENGGANU – Usaha membendung kegiatan perjudian perlu diterjemahkan daripada prinsip kepada dasar, undang-undang dan tindakan penguatkuasaan yang lebih jelas serta menyeluruh di negara ini yang memaktubkan dalam perlembagaannya, Islam agama persekutuan.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Setiu, Ustaz Hadi Mohamad berkata, perkara itu selari dengan usul PAS Kawasan Baling yang mendesak supaya kuasa kerajaan negeri diperkukuh dalam membendung perjudian termasuk berkaitan pemberian dan pembaharuan lesen judi.
Menurutnya, usul berkenaan yang diterima tanpa bahas pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 bukan sekadar berkaitan soal lesen, sebaliknya menyentuh isu kemudaratan sosial, institusi keluarga, penguatkuasaan undang-undang serta pembahagian bidang kuasa antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.


“Isu ini bukan sekadar soal lesen, tetapi menyentuh kemudaratan sosial, institusi keluarga, penguatkuasaan undang-undang dan bidang kuasa Kerajaan Negeri serta Persekutuan,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menambah, prinsip Islam perlu diterjemahkan melalui dasar dan perundangan yang mempunyai mekanisme pelaksanaan yang berkesan.
“Jika perjudian mahu dibendung, maka perlu ada usaha yang menyeluruh iaitu memperkemas undang-undang, memperkukuh kuasa kerajaan negeri, memperketat penguatkuasaan dan pada masa sama menangani perjudian dalam talian.
“Inilah pendekatan yang perlu dibawa, daripada prinsip kepada dasar, daripada dasar kepada undang-undang dan daripada undang-undang kepada pelaksanaan,” ujarnya.
Tambah beliau, pendekatan bersepadu penting bagi memastikan usaha membendung perjudian tidak hanya tertumpu kepada premis fizikal, sebaliknya turut mengambil kira perkembangan teknologi dan kegiatan perjudian yang berlaku melalui platform dalam talian.





























