Media Kuasa Penentu

140

Oleh : Nooreni Abu Bakar

SETIU – Sejarah dunia menyaksikan, media amat berkuasa di dalam menentukan jatuh dan bangunnya seseorang pemimpin di mata umum.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, perantara komunikasi dan perhubungan itu mampu berperanan mengangkat seseorang pemimpin sehingga mereka dilihat hebat.

“Dan melalui media juga berjaya menjatuhkan pemimpin sehingga bukan sahaja pemimpin jatuh malah parti pimpinannya tersungkur dan memaksa kerajaannya tumbang,” jelasnya.

Bendahari Badan Perhubungan PAS Terengganu itu berkata demikian ketika merasmikan ‘Retreat 2020’ Kelab Aktivis Media Inspirasi(KAMI) di sini, pada 7 November.

Program Badan Bukan Kerajaan(NGO) itu telah disertai 24 orang anggota yang terdiri daripada penggiat media yang mempunyai pelbagai kemahiran.

Ustaz Mohd Nor turut mengingatkan aktivis yang hadir agar berperanan membina imej parti, kerajaan dan pemimpinnya.

“Setiap yang kita tulis, cetusan idea dan pelbagai kreativiti untuk menaikkan Islam dan pemimpin akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga berharap supaya ‘orang media’ merubah tanggapan dan minda penduduk negeri ini.

“Biar pandangan umum melihat PAS ini bagus,, kepimpinan PAS ini bagus kerana kerajaan PAS memang terbaik,” tegasnya.