Manifesto Pilihanraya: Panduan PAS Khidmat Untuk Rakyat

66

Oleh Suhaimi Taib

Kuala Terengganu: Manifesto Pilihanraya bukan sekadar janji tetapi memudahkan kerajaan membuat panduan kerja untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, berkata beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perlaksanaan Manifesto Kerajaan Terengganu, sentiasa melihat bagaimana cara manifesto itu dilaksanakan sebaik mungkin melalui mesyuarat jawatankuasa itu dari semasa ke semasa.

“Beberapa hari yang lepas, jawatankuasa ini bermesyuarat dan memang kita (kerajaan Terengganu) buat kerja dan ada rekod pelaksanaannya dibuat oleh pegawai kerajaan dengan angka-angkanya sekali.

“Contohnya tanah terkilan, kerajaan Barisan Nasional (BN) batalkan pemberian tanah kepada rakyat tahun 1999, dijanjikan dalam manifesto pilihanraya umum yang lalu untuk diberi balik, kerajaan tunaikan janji berkenaan dalam tempoh pemerintahan kerajaan hari ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ceramah Mega anjuran bersama PAS DUN Ladang dan DUN Batu Buruk di Gelong Bilal di sini semalam.

Turut hadir Calon PAS bagi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Haji Amzad Hashim, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa.

Dato’ Tengku Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang seterusnya, berkata kerajaan Terengganu juga isytiharkan 1,900 ekar tanah rezab Melayu bagi menghalang milikannya ke tangan bukan Melayu termasuk tanah baru pemilik terkilan.