Majoriti Rakyat Setuju Dengan ‘Lockdown’

200

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU – Walaupun mengalami sedikit kesukaran, majoriti rakyat bersetuju dengan langkah pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (total lockdown) yang dilaksanakan oleh kerajaan bermula 1 Jun sehingga 14 Jun.

Sehubungan itu, PAS Kawasan Besut turut menyambut baik pengumuman program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0) yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Setiuasahanya, Cikgu Salahuddin Jaafar berkata, inilah yang dinantikan oleh rakyat negeri ini setelah kerajaan persekutuan mengumumkan ‘total lockdown’.

“Bantuan sebanyak RM6.4 juta yang diumumkan kerajaan PAS Trenggan dapat meringankan beban rakyat khususnya mereka yang berpendapatan secara harian.

“Pekerja kedai gunting rambut, pekerja restoran adalan yang dapat menarik nafas lega dengan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN Hulu Besut berkata demikian ketika dihubungi semalam.

Menurut Cikgu Solah, walaupun agak sukar diterima oleh masyarakat, tetapi rakyat perlu akur dengan arahan dari pihak atasan.

Justeru itu, beliau berharap angka jangkitan Covid-19 akan menurun mendadak sebaik habis tempoh ‘lockdown’ nanti.

Tambahnya, ‘perintah berkurung’ itu mempunyai hikmah tersendiri terutamanya bagi mengurangkan penularan virus maut tersebut.

“Di sebalik kes yang terus meningkat rakyat seharusnya mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Duduk di rumah jika tidak ada keperluan untuk keluar,” tegas beliau.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar dan juga barisan exco yang telah memotong gaji mereka untuk mengisi tabung Covid-19.

“Ini selaras dengan kesanggupan kakitangan persekutuan yang sama-sama memotong gaji mereka bagi tujuan tersebut.

“Semoga sedikit sebanyak dapat membantu ‘frontliners’ dan rakyat yang terjejas,” tambah Cikgu Solah.