Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU – Ribuan tetamu membanjiri Majlis Sambutan Hari Raya PAS di Setiu, mencipta suasana penuh warna-warni, kemeriahan dan ukhuwah yang cukup berkesan.
Sejak awal pagi, pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia, bangsa atau latar belakang hadir memeriahkan majlis dengan pakaian beraneka warna dan senyuman ceria, membawa bersama semangat Aidilfitri yang membara.
Setiausaha PAS Kawasan Setiu, Ayub Ngah berkata, lebih 10,000 orang hadir, termasuk wakil NGO, jemaah surau dan penduduk dari kampung-kampung berhampiran serta Jabatan kerajaan.
“Alhamdulillah, majlis ini benar-benar menggambarkan nilai perpaduan rakyat Setiu.
“Sambutan yang luar biasa ini membuktikan, perbezaan bukan penghalang untuk kita bersama meraikan Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi.
Bukan sekadar orang Melayu Islam, masyarakat berbilang kaum turut sama bergembira, jelas menunjukkan keterbukaan rakyat tanpa mengira ideologi atau fahaman politik.
Seawal pagi, anak-anak muda, Muslimat, Ameerah, Briged dan Jabatan Amal berganding bahu menjayakan majlis, dari mendirikan khemah, menyusun tempat duduk, menjadi bentara hinggalah melayani tetamu.
Nor Maharaini Daud, wakil anak muda yang merupakan Ketua Ameerah berkata, seramai 15 sukarelawan muda bertungkus-lumus memastikan photobooth dan ruang utama kelihatan menarik dan menjadi bentara.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas Ameerah yang tak kenal penat lelah.
“Semoga Allah membalas segala usaha ini dengan keberkatan. Terima kasih juga buat semua pengunjung yang hadir memeriahkan majlis.
“Maaf andai ada kekurangan sepanjang program berlangsung,” katanya dengan penuh rendah hati.
Majlis berakhir dalam suasana penuh keceriaan, meninggalkan kenangan manis yang pasti tersemat dalam ingatan setiap yang hadir.