Lebih 5,000 Hadir Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Buluh Gading

125

KUALA NERUS – Program rumah terbuka Aidilfitri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading terus mendapat sambutan luar biasa apabila dianggarkan lebih 5,000 pengunjung hadir sepanjang penganjuran tahun ini.

Pengerusi Majlis Tindakan DUN Buluh Gading YB Ustaz Ridzuan Hashim berkata, program ini yang merupakan acara tahunan yang sentiasa dinantikan masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, sambutan daripada masyarakat khususnya warga Buluh Gading sangat menggalakkan. Saya menjangkakan kehadiran tahun ini melebihi 5,000 orang,” jelasnya.

Beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading,
berkata demikian ketika ditemui pihak media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Buluh Gading di Taman Rekreasi, Kampung Teluk Pasu, semalam.

Tambahnya, pelbagai juadah disediakan bagi meraikan pengunjung yang hadir bersama keluarga dalam suasana penuh harmoni dan kegembiraan.

Menariknya, lokasi penganjuran yang terletak di kawasan luas berhampiran sungai serta taman rekreasi menjadikan program ini lebih mesra keluarga.

“Anak-anak bukan sahaja dapat menikmati juadah, malah boleh bermain di taman rekreasi yang berhampiran, menjadikan suasana lebih ceria,” ujarnya.

Tambah beliau, sambutan yang semakin memberangsangkan itu mencerminkan keterbukaan masyarakat serta peningkatan sokongan terhadap usaha kebajikan dan khidmat diberikan.

“Alhamdulillah, kita lihat masyarakat semakin menerima kehadiran dan perkhidmatan yang kita bawa, sekali gus mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau mengulas mengenai persediaan jentera dan latihan petugas terus diperkemas secara menyeluruh bagi memastikan gerak kerja organisasi berjalan tersusun dan berkesan.

“Persediaan telah dimulakan lebih awal dengan penyusunan jentera di semua peringkat termasuk pemuda, muslimat dan ameerah,” katanya.

Menurut beliau, pertemuan secara berkala diadakan setiap bulan melalui program usrah sebagai platform memperkukuh kefahaman selain menjadi ruang mendapatkan maklum balas daripada cawangan berhubung pelaksanaan tugasan di lapangan.

“Melalui pertemuan bulanan ini, kita bukan sahaja memperkasakan latihan, malah sentiasa menerima maklum balas untuk menilai keberkesanan gerak kerja yang telah dilaksanakan,” tambah beliau.

Ridzuan menjelaskan, sebahagian perancangan telah berjaya dilaksanakan, manakala usaha susulan (follow up) dilakukan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap peringkat jentera kekal aktif dan responsif.