Langkah Agresif Dekati Golongan Muda

196

KUALA TERENGGANU – Ameerah Terengganu bertekad melangkah lebih agresif mendekati generasi muda sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Ketuanya, Ustazah Sumaiyah Zakaria menegaskan bahawa hasil kajian menunjukkan sokongan anak muda menjadi penentu utama perubahan lanskap politik negara, justeru pendekatan komprehensif perlu diperkasakan agar mereka terus yakin dan percaya kepada PAS.

“Ucapan Dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-71 telah menekankan agenda bertindak iaitu Menguasai Pengundi Muda. Inilah fokus utama kami di peringkat Ameerah.

“Justeru, pelbagai usaha yang holistik dan berkesan perlu digerakkan. Program-program bersifat inklusif dan mampu menawan hati, serta minat anak muda ini perlu diperkasakan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini, mengulas mengenai Ucapan Dasar Presiden PAS, dalam Muktamar Tahunan PAS, di Kedah minggu lalu.

Katanya, antara cara terbaik ialah dengan menerapkan budaya Politik Matang Sejahtera, memaksimakan penggunaan media sosial dan digital, serta menganjurkan program inklusif dan santai dekat dengan jiwa generasi muda.

Selain itu, anak muda perlu memberi penekanan menonjolkan tokoh dalam PAS agar mereka lebih ke hadapan di pentas politik dan mampu menjadi suara anak muda dalam menangani isu-isu semasa.

“Ianya sekaligus membuktikan bahawa PAS tidak ketandusan pelapis kepimpinan, mampu menjadi suara anak muda yang seterusnya akan menambahkan keyakinan serta kepercayaan anak muda terhadap PAS.

“Anak muda kini semakin celik politik dan bijak membuat pilihan, namun masih ada sebahagian yang jauh daripada politik kerana kurang pendedahan.” tegas beliau.

Oleh itu, penting menampilkan pendekatan yang mesra, santai dan dekat dengan jiwa anak muda.

“Pendekatan secara tidak langsung, dan santai dilihat mampu menarik anak muda, yang sebahagiannya kurang mendapat kefahaman dan pendedahan tentang politik yang sebenar.

“Penguasaan media sosial dan digital khususnya, merupakan satu ruang dan peluang baik bagi mendekati golongan ini,” katanya.

Sumaiyah menambah, walaupun berdepan serangan dan fitnah pihak lawan, PAS komited mempertahankan sokongan pengundi muda agar parti itu terus beroleh kemenangan dalam PRU-16 akan datang.