Kerangka hukuman diyat atau pampasan kepada si mangsa dalam kes-kes kemalangan sewajarnya diberikan perhatian khusus.
Apatah lagi, menurut Ketua Dewan Ulama PAS, Ustaz Dato’ Ahmad Bin Yahaya, mangsa yang terlibat kemalangan maut disebabkan oleh pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol.
“seperti mana kejadian yang berlaku di Klang semalam. Kes-kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk bukan lagi kes terpencil.
“Ia telah meragut banyak nyawa walaupun di pihak Kerajaan Persekutuan masih menganggap kes-kes sebegini tidak begitu serius untuk ditangani secara menyeluruh.” ujarnya.
Dalam hantaran di laman sosialnya, beliau berkata, pembayaran diyat atau pampasan kepada si mangsa dan keluarga adalah satu daripada cabang hukuman yang terdapat dalam Islam.
“Ia memberikan tumpuan kepada aspek kebajikan ahli keluarga mangsa yang terpaksa menanggung bebanan disebabkan kemalangan yang melibatkan si mangsa tadi.” jelas beliau.
Maka, tegas beliau, sewajarnya sistem diyat ini diintegrasi dalam kerangka perundangan sedia ada supaya ia menjadi salah satu daripada bentuk hukuman yang perlu ditanggung oleh pelaku.
Menutnya lagi, ia tidak cukup sekadar hukuman berat yang diberikan kepada pelaku sedangkan dalam masa yang sama ahli keluarga si mangsa menanggung bebanan yang lebih berat serta tidak mempunyai mekanisme bagi melindungi kebajikan mereka secara khusus.
“Walaupun mekanisme pembayaran ganti rugi ini terdapat dalam Akta Undang-Undang Sivil 1956 mahupun Kanun Tatacara Jenayah, namun ia perlu diperhalusi dan dinaiktaraf supaya sistem diyat ini,
“menjadi instrumen hukuman yang wajib untuk ditunaikan kepada si mangsa tanpa perlu permohonan dibuat terlebih dahulu.” jelas beliau lagi.
Malah, tambah beliau, pembayaran diyat kepada ahli keluarga si mangsa juga wajar dimasukkan dalam peruntukan hukuman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 supaya ia menjadi kewajipan yang jelas kepada si pesalah untuk membayar sejumlah wang pampasan kepada si mangsa.
“Sistem diyat ini juga perlu dibezakan dengan insurans perlindungan kemalangan kerana sistem diyat adalah kewajipan kepada si pesalah dan pemerintah.
“Mahkamah sewajarnya turut mempertimbangkan jumlah diyat yang patut diberikan kepada si mangsa mahupun ahli keluarga mereka dengan menilai kepada impak yang ditanggung pasca kemalangan tersebut berlaku.” jelasnya,
Justeru katanya, ia boleh memberikan keadilan yang menyeluruh dan keindahan serta kehebatan sistem jenayah Islam akan meyakinkan orang ramai bahawa Islam adalah penyelesaian kepada permasalahan yang ada.




























