Oleh : Pyang Mamat
KEMAMAN – Janji manifesto Kerajaan PAS Negeri Terengganu di Pilihan Raya Umum ke – 14, satu DUN Satu Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) telah berjaya direalisasikan di Dewan Undangan Negeri DUN Kijal.
Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri(MTD) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh berkata, pengambilan pertama mencatatkan seramai 59 orang pelajar tahun satu bagi sesi 2020.
” Jutaan terima kasih diatas kepercayaan yang diberi oleh Jabatan Agama Islam dan Kerajaan Terengganu kerana menjadikan DUN Kijal sebagai ‘pilot project’ SRIDI di Kemaman,” ujarnya.
Beliau yang juga selaku Pegawai Penyelaras DUN berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) di Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal dekat sini pada 29 Disember.
Ustaz Hazri juga melahirkan kesyukuran dengan kesedaran ibubapa yang mementingkan pembelajaran agama untuk anak mereka.
“Tahniah kepada ibubapa sekarang kerana menyedari betapa pentingnya asas pendidikan agama, kefahaman tentang tauhid dan Al Quran bagi anak mereka,” ucap beliau.
Beliau seterusnya memberitahu, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) juga dalam perhatian kerajaan untuk dilaksanakan di negeri Terengganu.
“InsyAllah untuk SMIDI pun kami di DUN Kijal sanggup untuk menyediakan tapak bagi melihat pembangunan pembelajaran agama ini, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan,” tambah beliau lagi.











