Krisis identiti cetuskan Islamofobia di AS?

750

http://buletinonline.net/images/stories/berita33/Islamophobia.jpgWASHINGTON: Beberapa ketika dulu, Eropah kelihatan sebagai bahagian Barat yang dilanda kekhuatiran terhadap Islam apabila berlaku beberapa kontroversi seperti pengharaman pemakaian tudung atau pembinaan masjid-masjid di Perancis, Jerman, Belanda dan Switzerland.

Bagaimanapun, sejak beberapa minggu lalu, hubungan Amerika Syarikat dengan Islam kelihatan berubah, menurut cendekiawan Islam, Profesor Tariq Ramadan, seorang profesor di bidang pengajian Islam kontemporari di Kolej St Anthony di University Oxford, dalam satu rencananya di akhbar The Washington Post.

Pertikaian terhadap rancangan masyarakat Islam membina sebuah pusat Islam dan masjid dekat tapak Pusat Dagangan Dunia, yang diserang pada 11 September 2001 oleh sekumpulan pengganas yang dikaitkan dengan Al-Qaeda, di New York dan rancangan membakar Al-Quran oleh seorang paderi Florida mendedahkan kebimbangan yang sama, tulis Prof Ramadan.

Dan, para wartawan dan intelek (termasuk dari Eropah, agak ironik) telah dengan cepat menyifatkan perkembangan itu sebagai meningkatnya Islamofobia di Amerika.

Tinjauan-tinjauan menunjukkan bahawa hampir setengah rakyat Amerika mempunyai pandangan serong terhadap Islam dan kebimbangan terhadap agama itu di Amerika tidak dapat dinafikan.

Namun, apakah ia sebenarnya sekadar sikap xenofobia, atau sikap menaruh kebencian atau kegerunan terhadap orang asing dan perkauman?

‘Saya tidak percaya ia sedemikian rupa,’ kata Prof Ramadan.

Menurutnya, kebimbangan semula jadi dan boleh difahami masih boleh ditukar menjadi penolakan aktif dan sikap perkauman terbuka apabila perbincangan politik dan liputan media memarakkan lagi api bagi kepentingan ideologi, keagamaan dan ekonomi.

‘Itu yang berlaku di Amerika hari ini,’ tegas Prof Ramadan.

Kebanyakan rakyat Amerika tidak tahu tentang Islam tetapi takutkan agama itu sambil menyifatkannya sebagai ganas, mengamalkan peluasan kuasa dan asing kepada masyarakat mereka, jelas beliau.

‘Masalah yang harus diatasi bukanlah kebencian tetapi kejahilan. Cabaran bagi umat Islam di Amerika harus menghormati kebimbangan rakyat biasa sementara menentang eksploitasi kebimbangan itu oleh parti politik, pelobi dan sektor-sektor media tertentu.

‘Bagi mengatasi cabaran ini, umat Islam harus menilai semula pelibatan, kelakuan dan sumbangan mereka dalam masyarakat Amerika,’ tulis Prof Ramadan.

Tanggapan-tanggapan negatif terhadap Islam bukannya baru di Barat – ia bermula sejak zaman pertengahan kuno lagi, bukan 11 September 2001, tegasnya.

‘Pada abad ke-20, ia didedahkan melalui krisis-krisis seperti revolusi Iran dan hal Salman Rushdi, yang menunjukkan bahawa Islam mengancam keselamatan kepentingan Barat serta nilai-nilai utama seperti kebebasan bersuara.

‘Serangan pengganas ke atas Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon (serta di Bali, Madrid dan London) serta tengkarah karikatur Denmark hanya kelihatan mengesahkan kepada ramai di Barat bahawa Islam adalah musuh, selama-lamanya terpisah daripada mereka.

‘Perang di Afghanistan dan di Iraq dan konflik sedang berjalan antara Israel-Palestin menghasilkan kebimbangan yang sama,’ jelas beliau.

Suasana realiti domestik terbaru di Eropah dan Amerika juga mendalamkan lagi perasaan negatif itu, menurut Prof Ramadan.

Menurutnya, dengan adanya penglihatan imej Islam yang semakin meningkat – melalui pemakaian, masjid dan juga warna kulit – menunjukkan bahawa masyarakat Barat sudah berubah dan perubahan seperti itu sering menakutkan.

‘Identiti homogen (atau sejenis), sama ada nyata atau bayangan, semakin kabur kerana rakyat Amerika dan Eropah memikirkan masa depan negara dan budaya mereka.

‘Kehadiran umat Islam juga sering digabungkan dengan perdebatan berhubung isu imigrasi. Masa depan Amerika suram tanpa pendatang bagi membantu mengekalkan (prestasi) ekonominya tetapi terdapat penentangan budaya dan psikologi mendalam terhadap realiti yang tidak dapat dielakkan ini,’ kata Prof Ramadan.

‘Ini menjejas bukan saja kaum Latin, malah juga umat Islam yang sudah pun dan semakin menjadi sebahagian masyarakat Amerika,’ tambahnya.

Menurutnya, jika ia ditambah dengan faktor ketidakstabilan umum yang dikaitkan dengan perang dan kelembapan ekonomi, kita akan melihat satu gambaran krisis identiti di Amerika. Ia adalah sebuah negara pendatang, yang diasaskan pada kebebasan suara dan agama tetapi kini boleh dijejas oleh keraguan, ketidakpercayaan dan ketakutan.