Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Malaysia (LA PPM) PAS memandang serius pergolakan konflik yang berlaku di Negara Republik Afrika Tengah yang melibatkan lebih 15,000 orang kebanyakannya penduduk Islam di Republik tersebut.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Malaysia Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, mereka kini terpaksa berlindung di kem penempatan sementara, terkepung dan berdepan dengan ugutan bunuh oleh kumpulan-kumpulan bersenjata militia.
“Antara lokasi yang teruk terjejas dengan keganasan ini adalah di Bangui dan Bandar Boda, Boar serta Bossangoa.


“Umat Islam yang menjadi golongan minoriti terus menjadi mangsa dibuli, dibunuh dan diperlakukan di luar nilai kemanusiaan oleh golongan ekstremis,”ujar.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat petang Jumaat 28 Februari.
Beliau berkata, sudah pasti umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia tidak rela mendengar pembantaian dan pembunuhan terhadap saudara seagamanya, yang berlaku di mana-mana negara termasuk di Afrika Tengah.
Justeru, beliau mendesak kerajaan Malaysia menyatakan bantahan dan kecaman secara terbuka terhadap tindakan kejam pihak militia dan meminta supaya semua pihak meletak senjata dengan melakukan rundingan bagi mencari jalan penyelesaian.
“Pertubuhan-pertubuhan Negara Islam (OIC) juga perlu memainkan peranan penting bagi memastikan keselamatan orang awam khususnya umat Islam di Afrika Tengah terus terbela. Krisis kemanusiaan yang berakhir dengan tragedi berdarah bukanlah jalan penyesaian sebaliknya rundingan bagi memastikan keamanan dan keselamatan rakyat perlu menjadi keutamaan.
“Sekiranya keadaan semakin tegang, LA PPM mendesak supaya kerajaan Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan negara Afrika Tengah dan memanggil pulang duta Malaysia di sana.,”jelas beliau





























