Korban Lambang Kasih Sayang dan Keprihatinan Masyarakat

169

BESUT – Ibadah korban bukan sekadar penyembelihan haiwan, sebaliknya menjadi lambang kasih sayang dan keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan.

Menurut Ketua Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut (DMPKB), Puan Rosimah Salleh berkata, semangat pengorbanan dalam ibadah qurban perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang memberi manfaat kepada golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan.

“korban ini bukan sekadar ibadah, tetapi satu bentuk kasih sayang dan keprihatinan terhadap saudara-saudara kita yang memerlukan.

“Semoga Allah SWT memberkati usaha kita bersama dan memberi kekuatan untuk meneruskan amal ini setiap tahun,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Program Qurban Perdana sempena Aidiladha anjuran DMPKB yang diadakan di Kompleks Dakwah Islamiah (KODIM), Tok Has, semalam.

Menurutnya, program yang kini memasuki tahun kedua itu melibatkan penyembelihan seekor lembu dan agihan daging qurban kepada golongan asnaf daripada keempat-empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Besut.

Rosimah menambah, penganjuran program seumpama ini bukan sahaja menghidupkan semangat pengorbanan sempena Aidiladha, malah turut memperkukuh ikatan kebersamaan antara masyarakat dan penggerak kebajikan setempat.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang, petugas, dan sukarelawan yang memainkan peranan penting dalam menjayakan program tersebut.

“Insya-Allah, kita berharap ia akan diteruskan sebagai agenda tahunan DMPKB dalam membantu mereka yang memerlukan,” tambahnya.