DUNGUN – Sempena menyambut Hari Kebangsaan tahun ini, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu akan menganjurkan Konvoi Jelajah Merdeka pada Sabtu ini, 30 Ogos 2025.
Program yang akan bermula seawal jam 8.00 pagi itu menjadikan Masjid Che Lijah sebagai lokasi berkumpul para peserta konvoi.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, konvoi tersebut bertujuan untuk mengangkat semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat setempat melalui pendekatan santai dan penuh ukhuwah.
“Helmet merah yang dijadikan simbolik konvoi ini bukan milik sesiapa, tetapi milik semua yang hadir menyertai jelajah ini. Ia tanda kebersamaan kita dalam menghayati erti kemerdekaan sebenar,” ujarnya.
Selain konvoi, penganjur turut menyediakan cabutan bertuah sebagai tarikan kepada peserta dengan hadiah utama berupa sebuah motosikal.
“Marilah bersama-sama kita raikan kemerdekaan, kibarkan jalur gemilang, dan laungkan ‘Merdeka’ dengan penuh semangat,” tambahnya.





























