KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) konsisten memberikan kefahaman kepada rakyat di negeri ini agar ramai akan menyertai Himpunan Mega Tolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) pada 4 Oktober di Kuala Lumpur.
Ketua Penerangan DPPNT, Ustaz Mohd Ridhuan Abdul Karim berkata, pelbagai mekanisme dijalankan bagi memberikan kefahaman, termasuk melalui media sosial seperti Facebook, TikTok dan sebagainya.
“Kerja penting DPPNT adalah memberikan kefahaman secara berterusan kepada rakyat supaya mereka benar-benar faham dan mengerti tentang pembangunan semula bandar yang berlaku di Kuala Lumpur.
“Mereka perlu tahu apa sebenarnya berlaku dan mengapa Pemuda PAS Malaysia membantah keras sehingga mengadakan himpunan mega bagi membantah perkara ini.
“Kita mahu supaya semua yang hadir ke himpunan ini dalam keadaan mereka mengerti, faham dan memiliki kesedaran yang jelas tentang pentingnya menolak URA ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT), di sini, semalam.
Ustaz Ridhuan turut memaklumkan, sehingga kini pihaknya menerima respons yang cukup baik daripada Ketua Pemuda setiap kawasan yang telah memberikan komitmen menguruskan sekurang-kurangnya sebuah bas daripada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Itu tidak termasuk lagi mereka yang akan hadir secara sendiri, bersama keluarga, secara berkonvoi, dan kita menjangkakan jumlah ini akan terus bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan URA bakal memberi kesan serta impak besar yang dikhuatiri akan menjejaskan penduduk asal, khususnya golongan B40.
“Mereka berkemungkinan tidak mampu menetap dan tinggal di kawasan yang dibangunkan semula kerana terpaksa menanggung caj tambahan bagi kediaman baharu.
“Rata-rata mereka merupakan golongan miskin bandar, jadi perlu diberi perhatian agar mereka tidak terusir dari rumah yang didiami,” tegasnya.
Tambah beliau, rakyat bimbang wujud polisi ‘double standard’ oleh pihak berkepentingan dan tindakan yang tidak adil berdasarkan kaum dan agama.
“Kita lihat bagaimana kawasan tertentu seperti perkampungan warisan yang mendapat pengiktirafan UNESCO dilindungi sepenuhnya daripada pembangunan, manakala kawasan Melayu bersejarah seperti Kampung Baru berulang kali dicadangkan untuk dipindah dan dibangunkan semula.
“Mengapa warisan sesuatu kaum begitu dihormati, tetapi warisan Melayu tidak diberikan perlindungan yang sama?” katanya.