Konflik Selatan Thai; Tiga Kanak-kanak Adik Beradik Mati Ditembak

1167

NARATHIWAT: Tiga adik-beradik termasuk berusia tiga tahun telah ditembak mati dalam keganasan di selatan Thailand dan ibu mereka yang sedang mengandung turut cedera, kata polis kelmarin.

Kanak-kanak lelaki berumur tiga, lima dan sembilan, ditembak mati selepas pulang dari solat malam pada hari Isnin di sebuah masjid di sebuah daerah di Narathiwat, satu daripada tiga wilayah selatan yang telah bergolak berdekad panjangnya.

Ibu mengandung dan bapa juga ditembak dalam serangan itu tetapi terselamat, menurut polis di daerah Bacho.

Kolonel Pramote Promin, jurucakap tentera wilayah selatan, berkata beliau tidak dapat mengesahkan samada kematian tersebut berkaitan dengan pemberontakan terhadap pemerintahan Thai.

“Kami perlu menunggu siasatan polis. Tetapi masyarakat perlu mengutuk pelaku insiden ini,” katanya.

Laporan media tempatan menyatakan, seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah rumah keluarga Muslim yang terletak agak jauh dari penduduk lain.

thailand-insurgency-school-childrenPeluru tembakan rambang itu telah mencederakan kanak-kanak lelaki tersebut, yang kemudian mati di hospital.

Lebih daripada 5,900 orang, majoritinya terdiri daripada orang awam, telah terbunuh dalam konflik yang diperjuangkan oleh pemberontak mencari autonomi yang lebih besar daripada negara majoriti berugama Buddha Thailand.

Kira-kira 40 orang terbunuh di wilayah bergolak itu setakat tahun ini, menurut sumber Pemantau ‘Monitor Deep South Watch’.

Berpuluh-puluh kanak-kanak telah dibunuh sama ada oleh pemberontak mahu pun oleh pasukan keselamatan sejak awal pertumpahan darah pada tahun 2004, mendorong Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa pihak terbabit menamatkan keganasan terhadap anak-anak muda di rantau ini.

Pekerja kesihatan mental di selatan mengatakan, kanak-kanak semakin menunjukkan tanda-tanda gangguan tekanan selepas trauma; termasuk kemarahan, introversi dan ketakutan, disebabkan mereka tinggal di zon konflik.

Pihak berkuasa tempatan berkata terdapat lebih 5,000 anak-anak yatim di ketiga-tiga wilayah selatan.

Akar pemberontakan bermula dengan api kemarahan lama terhadap usaha Thailand untuk menukar kehidupan kaum Melayu Islam dan dianggap sebagai tidak menghormati bahasa tempatan, agama dan adat resam.

Rundingan damai di antara beberapa kumpulan pemberontak dan pihak berkuasa Thai telah terhenti akibat pergolakan politik yang sedang berlaku di Bangkok.

Pemberontak, termasuk dari bayangan Barisan Revolusi Nasional yang dipercayai menguasai banyak pejuang akar umbi, telah membuat satu siri tuntutan supaya rundingan damai diteruskan.