Ketegangan Jepun-China belum berakhir

958

http://buletinonline.net/images/stories/berita34/bantahanrakyatjepun.jpg– PM dua negara mahu baiki hubungan namun tekankan hak kuasai pulau yang dipertikai
Pemimpin Jepun dan China berkata mereka mahu memperbaiki hubungan yang tegang antara dua negara itu, tetapi menekankan mereka tetap menuntut hak menguasai kawasan kepulauan yang menjadi tumpuan utama pertikaian itu.

Ini menunjukkan ketegangan antara dua ekonomi utama di Asia itu belum selesai.

Perdana menteri Jepun dan China bertemu kelmarin buat kali pertama sejak pertelingkahan berhubung kejadian perlanggaran kapal dua negara itu di perairan dekat sebuah kepulauan yang dipertikai di Laut China Timur bulan lalu menjejas hubungan.

Dua pemimpin itu bersetuju memulakan rundingan peringkat tinggi bagi memperbaiki hubungan.

‘Kami berdua berkata suasana sekarang tidak baik, dan kami mengesahkan ada langkah memulakan usaha memperbaiki hubungan strategik kami yang saling menguntungkan,’ kata Perdana Menteri Jepun, Encik Naoto Kan, kepada pemberita di Brussels, selepas menemui Perdana Menteri China, Encik Wen Jiabao, sempena sidang puncak Asia-Eropah (Asem).

‘Kami bersetuju mengadakan rundingan peringkat tinggi atas dasar keselesaan masing-masing,’ kata Encik Kan, sambil menambah beliau melihat kepulauan yang dipertikai itu sebagai wilayah Jepun.

(Gambar – rakyat Jepun membantah tindakan Perdana Menterinya Naoto Kan bertemu dengan Perdana Menteri China Wen jiaobo yang dianggap sebagai tindkan tunduk kepada China)

Encik Kan, yang menghadapi tekanan dalam negeri kerana kelihatan mengalah pada permintaan China dalam tengkarah itu, tidak mendedahkan pihak-pihak yang bakal menyertai rundingan tersebut atau bila ia akan diadakan.

Beliau dan Encik Wen bertemu 25 minit selepas satu majlis jamuan malam rasmi di Brussels. Pertemuan itu tidak diumum terlebih dahulu.

Dalam pertemuan itu, Encik Wen memberitahu Encik Kan kepulauan itu – dipanggil Senkaku di Jepun dan Diaoyu di China – milik China.

Namun, beliau juga berkata dua raksasa Asia itu harus mendalami lagi hubungan mereka demi manfaat penduduk kedua-dua negara, kata agensi media China.

‘Kepulauan Diaoyu adalah wilayah China sejak zaman purba,’ kata Encik Wen semasa bertemu Encik Kan, lapor agensi berita Xinhua News.

Hubungan dua negara itu tegang apabila sebuah bot nelayan China dan dua kapal pengawal pantai Jepun berlanggar dan Jepun kemudian menahan kapten bot nelayan tersebut.

Jepun telah membebaskan kapten tersebut.

Kejadian itu turut menjejas bekalan beberapa bahan galian nadir bumi, produk dan barang gantian dari China kepada Jepun.

China menghasilkan kira-kira 97 peratus nadir bumi dunia.

Jepun membeli sekitar setengah nadir bumi China, tetapi Beijing mengenakan pengharaman de facto ke atas eksport bahan itu selepas insiden perlanggaran itu.

Semalam, Menteri Perdagangan Jepun, Encik Akihito Ohata, berkata beliau akan menemui China berhubung isu nadir bumi itu. — Reuters.